Jihad hidup elak mati angkara rokok, vape

- Advertisement -

Oleh DR NUR AMANI NATASHA AHMAD TAJUDDIN dan DR MOHD. AFIQ MOHD. NOR

Budaya vape didapati semakin popular dalam kalangan remaja dan perokok sejak tahun 2004 dengan dakwaan palsu bahawa ia adalah alternatif kepada budaya merokok konvensional, malah telah juga diuar-uarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai alat untuk berhenti merokok.

Baru-baru ini kita digusarkan pula dengan berita vape tidak dikenakan cukai. Di mana sikap prihatin dan empati terhadap generasi muda dan anak-anak yang sepatutnya dilindungi daripada bahaya asap rokok dan vape?

- Advertisement -

Padahal setiap minit ada perokok yang mati akibat daripada kesan merokok, menjadikan kematian mereka perlu diganti dengan perokok baharu, yang sudah tentu dari kalangan generasi muda. 

Taktik syarikat tembakau dan vape yang menghasilkan pelbagai peranti baharu yang mudah dibawa atau disorok oleh pelajar sekolah dan universiti, dengan pelbagai perisa dan bau tiruan yang membahayakan nyawa, kini semakin mendapat perhatian pelbagai pihak.

Rokok mengandungi nikotin, dan hampir kesemua vape di pasaran didapati mengandungi nikotin – bahan utama yang menyebabkan ketagihan. 

Katakan tidak kepada rokok yang langsung tidak memberi sebarang manfaat kepada kesihatan manusia.

Vape boleh menyebabkan masalah pernafasan yang kronik dan penyakit asma tidak terkawal, manakala nikotin boleh menyebabkan degupan jantung yang laju, tekanan darah tinggi dan juga serangan jantung. 

Impaknya, ramai remaja yang menggunakan vape dan juga merokok tidak dapat bersukan dengan efektif berbanding rakan mereka yang tidak terbabit dengan perkara tersebut.

Peranan masyarakat melindungi kanak-kanak dan remaja dari rokok dan vape sebenarnya selaras dengan Generasi Bebas Asap Rokok dan kempen Generation End Game Anti-Rokok Bawah 18 tahun (GEGAR-18), individu yang lahir pada 2005 ke atas akan menjadi generasi yang tidak terdedah kepada apa-apa produk rokok dan tembakau. 

Kini semakin banyak individu, industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung tenaga untuk membanteras isu vape daripada semakin meluas dalam kalangan generasi muda.

Banyak kajian saintifik telah membuktikan vape mengandungi lebih dari 230 bahan kimia yang berbahaya untuk kesihatan.

Antara bahan yang terdapat dalam cecair vape tersebut ialah propylene glikol, yang berasal daripada minyak masak. Bahan-bahan kimia ini apabila disedut akan mendap di sel-sel paru-paru dan akhirnya akan menyukarkan paru-paru untuk mengembang seperti normal. Lama-kelamaan ia boleh menyebabkan kerosakan kepada paru-paru keadaan yang dipanggil EVALI.

Banyak maklumat mengenai bahaya rokok dan vape boleh diperolehi daripada pelbagai sumber. Program kesedaran telah dan masih giat dilakukan di sekolah, pusat pengajian tinggi dan untuk orang awam bagi membuka minda semua tentang bahaya rokok dan vape kepada kesihatan fizikal dan minda.

Vape bukanlah pengganti rokok, dan bukan juga alat untuk rawatan berhenti merokok kerana banyak kajian membuktikan pengguna vape akan menjadi pengguna berganda (vape dan rokok pada masa yang sama) selepas beberapa tempoh, dan meningkatkan lagi risiko buruk terhadap kesihatan.

Kanak-kanak meniru perbuatan golongan dewasa yang ada di sekeliling mereka, jika terdedah kepada aktiviti vape dan rokok yang tidak berfaedah ini.

Mereka akan mempunyai pendapat bahawa perbuatan ini adalah selamat dan boleh diamalkan. Di sinilah peranan ibu bapa, masyarakat dan kerajaan untuk terus memberi maklumat yang benar dan menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda untuk melakukan perkara yang betul dari usia muda.

Seseorang yang mengambil vape mempunyai risiko tinggi untuk mendapat komplikasi penyakit berkaitan paru-paru seperti EVALI – E-Cigarette and Vaping product-use Associated Lung Injury.

Kandungan yang terdapat di dalam cecair vap itu telah dibuktikan mempunyai ribuan bahan kimia yang berbahaya kepada manusia dan ada di antaranya mempunyai potensi menyebabkan kanser.

Pada September 2019, EVALI  telah meletus di Amerika Syarikat dalam kalangan belia yang menyebabkan lebih 2,000 orang telah dimasukkan ke wad dan mengorbankan 68 orang secara keseluruhannya.

Letusan EVALI ini mengejutkan ramai pihak kerana ramai menyangka bahawa produk ini asalnya selamat untuk digunakan.

Mereka yang terselamat daripada kes EVALI yang teruk ini walau bagaimanapun terpaksa bertahan dengan penggunaan bantuan oksigen di rumah kerana kecederaan dan kerosakan pada paru-paru tersebut mengambil masa yang lama untuk kembali pulih sepenuhnya.

Antara sebab utama insiden EVALI di AS adalah kerana terdapat bahan tertentu yang telah ditambah ke dalam cecair vap seperti Vitamin E-Acetate dan Tetrahhydricainnbol (THC) selain Nikotin, Gliserin, Propylene Glycol dan pewarna.

Jika kesan kanser akibat merokok konvensional mengambil masa puluhan tahun untuk diketahui, amalan menggunakan vape juga mempunyai risiko besar yang sama kerana kajian-kajian terkini sudah banyak membuktikan bahaya penggunaannya terhadap paru-paru.

Perokok yang merokok di dalam rumah atau kereta sebenarnya bukan sahaja memberi kesan bahaya terhadap kesihatan kepada orang yang terdekat iaitu sebagai perokok sekunder, bahkan amalan ini boleh memberi kesan buruk kepada psikologi dan kesihatan fizikal orang muda, terutamanya anak-anak kecil yang melihat tabiat tersebut di hadapan mata mereka.

Adalah tidak adil untuk seseorang itu merokok dan menghembuskan asap rokoknya di dalam kawasan kurang pengudaraannya dan menjadikan orang sekelilingnya sebagai mangsa menyedut asap rokok. 

Perlu diketahui bahawa kesan asap rokok masih ada di dalam kereta atau kawasan tertutup kerana bahan kimia dari asap rokok yang dihembus akan mendap pada kusyen, dashboard, langsir dan permaidani dan ia akan bertindak dengan udara, sebelum kemudian menghasilkan reaksi kimia yang akan masuk melalui saluran pernafasan dan meresap melalui kulit anak-anak. 

Disinilah kesan asap sisa rokok yang tidak nampak pada mata kasar tetapi menyebabkan masalah kesihatan yang teruk dan juga masalah pembelajaran yang terbantut dalam jangka pendek dan panjang.

Maka, amalan merokok di dalam rumah, kereta atau mana-mana kawasan tertutup perlulah dihentikan untuk keselamatan dan kesihatan semua.

Masyarakat mempunyai peranan bagi melindungi kanak-kanak dan remaja dari rokok dan vape selaras dengan Generasi Bebas Asap Rokok dan kempen Generation End Game Anti-Rokok Bawah 18 tahun (GEGAR-18).

Kajian telah banyak membuktikan bahawa merokok adalah tabiat yang sangat tidak bermanfaat dan memberikan ancaman bahaya kepada kesihatan fizikal dan mental. 

Kajian-kajian mengenai tabiat menggunakan vape juga semakin lama semakin banyak mendedahkan bahawa penggunaan vape mempunyai risiko-risiko yang tinggi kepada kesihatan badan. 

Menukar daripada merokok kepada menggunakan vape  bukanlah pilihan terbaik kerana masih mendedahkan diri kepada bahan-bahan kimia yang berbahaya.

Justeru sempena Hari Anti Merokok Sedunia pada hari ini, 31 Mei 2022, perokok dan pengguna vape diseru untuk berhenti merokok dan berjihad untuk meneruskan kehidupan tanpa rplok dan vape buat selama-lamanya. 

Manfaatkan program-program perkhidmatan berhenti merokok yang disediakan oleh kerajaan dengan kerjasama pihak swasta seperti jomquit melalui laman www.jomquit.com bagi membantu diri untuk keluar daripada terus terbelenggu dengan tabiat yang buruk ini.

Dr. Nur Amani Natasha Ahmad Tajuddin merupakan Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya; manakala Dr. Mohd. Afiq Mohd. Nor ialah Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya.

- Advertisement -