Syahdu konsert mini patuh syariah Ahmad Dhani

Ahmad Dhani memberikan persembahan penuh aura dalam konsert mini, Munajat Cinta di Panggung Anniversary, Taman Botani, Kuala Lumpur pada 29 Mei 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/ZULHAIDI MANSOR)
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG dan ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Sebelum kemunculan kumpulan rock legenda Search menerusi konsert berskala besar, Konsert Endemik pada era selepas pandemik menjelang 4 dan 5 Jun ini di Zepp Kuala Lumpur, figura tersohor Indonesia, Ahmad Dhani terlebih dahulu muncul dengan konsert mininya, Munajat Cinta yang berlangsung di Panggung Anniversary, Taman Botani di sini, malam tadi.

Persembahan ahli kumpulan Dewa 19 bermula pada jam 9 malam itu adalah bersempena festival yang bersifat Islamik dan santai, Kuala Lumpur Garden of Eid Festival (GOE) 2022 selama tiga hari dari 27 hingga 29 Mei, 2022 yang diadakan buat julung-julung kalinya dalam suasana endemik di Malaysia.

- Advertisement -

Festival yang menjadi acara meraikan dua perayaan terbesar umat Islam, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha 2022 itu menampilkan hiburan menerusi pendekatan patuh syariah untuk segenap lapisan masyarakat, pada malam sebelumnya (28 Mei) telah menampilkan persembahan kumpulan nasyid tersohor Raihan, Datuk Jamal Abdillah dan Faizal Tahir.

“Ini konsert saya tanpa diiringi gitar, bass dan keyboard,” ucap Ahmad Dhani mengenai konsep Islamik konsert mininya yang lebih kepada perkusi menggunakan peralatan muzik yang dibunyikan dengan pemukulan atau geseran alat pemalu yang khusus.

Ahmad Dhani ketika mengalunkan lagu berjudul, Iman di pentas konsert mini, Munajat Cinta. (FOTO HARAKAHDAILY/ZULHAIDI MANSOR)

Muncul di pentas dengan lagu pertamanya berjudul, Satu mengisahkan tentang seorang hamba (manusia) yang memuja Allah dalam setiap perjalanan hidupnya, aura Ahmad Dhani yang begitu terkesan dengan lagu-lagu berciri Islamik itu segera mengujakan ribuan penonton yang hadir pada malam itu.

Sementelah penataan rias pentasnya yang terlihat mengagumkan, sukses dalam menyerlahkan latar belakang penceritaan lirik lagu yang dialunkan Ahmad Dhani kali ini.

Persembahan Ahmad Dhani semakin bertenaga menerusi lagu-lagu alunannya yang seterusnya, Jika Cinta Allah dan Jika Syurga dan Neraka Tak Pernah Ada.

Penataan rias pentas konsert mini, Munajat Cinta Ahmad Dhani memukau visual penonton yang hadir. (FOTO HARAKAHDAILY/ZULHAIDI MANSOR)

Sebelum menamatkan konsert mini itu pada jam 10 malam menerusi lagu Munajat Cinta, yang turut dihadiri artis Malaysia termasuk pelakon terkenal, Nur Fazura, sempat Ahmad Dhani mengalunkan lagu-lagu yang dilabelkannya sebagai ‘pop religi’ (pop keagamaan) termasuk Kuldesak dan Hadapi dengan Senyuman

Meskipun konsert mini Ahmad Dhani itu sekadar berlangsung selama kira-kira 1 jam sahaja, namun impak kesyahduan lagu-lagu alunan figura yang punya nama besar di rantau ini ternyata begitu terkesan, sementelah dalam senario negara yang masih baru berada dalam era endemik ini. – HARAKAHDAILY 30/5/2021

- Advertisement -