Menteri Agama ucap tahniah kepada graduan UniSHAMS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Datuk Idris Ahmad mengucapkan tahniah kepada graduan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) yang diraikan pada Majlis Istiadat Khas Konvokesyen ke-22, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu melahirkan kesyukuran kepada Allah yang memberi rezeki kepadanya untuk bersama dengan para pentadbir serta para graduan pada majlis itu.

Katanya, Istiadat Konvokesyen Khas adalah gantian disebabkan pandemik Covid-19 lalu.

- Advertisement -

Beliau menambah, sesi kali ini meraikan seramai 1,428 orang graduan secara keseluruhannya bagi sesi tahun 2020.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua graduan yang diraikan pada hari ini,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial beliau, hari ini.

Untuk makluman, ujarnya UniSHAMS menawarkan sebanyak 48 program pengajian pelbagai peringkat yang dirangkumi dalam tujuh buah Kuliah iaitu Perubatan dan Sains Kesihatan, Muamalat dan Pengurusan Sains, Bahasa Arab, Usuluddin dan Sains Al-Quran, Syariah dan Undang-Undang, Hospitaliti dan Seni Kreatif serta turut disediakan Pengajian Asasi bagi lepasan SPM.

Beliau berharap semoga UniSHAMS terus dapat melahirkan graduan berkualiti yang lengkap penghayatan agama dan bidang profesional yang disediakan. – HARAKAHDAILY 30/5/2022

- Advertisement -