Wartawan kena berani, jangan jadi kaki ampu

Iskandar bersama tetamu.

Oleh SAIDAH HAIRAN

KUALA LUMPUR: 
Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad mengucapkan selamat menyambut Hari Wartawan Nasional, hari ini kepada seluruh wartawan dan pengamal media serta mereka yang telah bersara.

Beliau berkata, peranan wartawan atau pengamal media amat penting dalam menyalurkan maklumat kerana mereka dapat mempengaruhi masyarakat.

Advertisement

“Wartawan kena berani menyatakan kebenaran dan jangan jadi kaki ampu. Katakanlah yang benar,” katanya ketika ditemui di majlis sambutan hari raya di rumahnya, hari ini.

Beliau sangat menghargai pengorbanan para wartawan yang bekerja tidak tentu masa, pantas melaporkan berita dan sentiasa berada di lokasi kejadian.

“Dalam masa yang sama wartawan mesti mempunyai sifat amanah dan jujur dalam melaporkan berita.

“Wartawan juga terikat dengan etika undang-undang dan paling penting mereka mesti menjaga etika kewartawanan dengan baik,” katanya.

Kata beliau, peranan media atau wartawan amat penting untuk menyatupadukan antara kaum dan menjaga keharmonian dalam negara.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional.– HARAKAHDAILY 29/5/2022