Perlu ada badan khusus naungi pengamal media di Malaysia

- Advertisement -

MELAKA: Satu badan khusus untuk menaungi dan menjadi suara kepada pengamal media di negara ini perlu diwujudkan, demikian saranan Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) Datuk Mokhtar Hussain.

Mokhtar berkata perkara itu telah menjadi bualan dalam kalangan pengamal media di negara ini sejak sekian lama, namun hasrat itu masih belum menjadi kenyataan sehingga hari ini.

- Advertisement -

“Banyak persatuan (berkaitan media) di Malaysia, tapi tiada yang menjadi ‘payung’, maka telah tiba masanya diwujudkan satu badan yang dapat jadi satu suara (kepada pengamal media),” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Forum Media Nasional sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di Banda Hilir di sini hari ini.

Sambutan kemuncak HAWANA 2022 yang bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’ akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang ini.

Sehubungan itu Mokhtar berharap HAWANA 2022 boleh menjadi pemangkin kepada penubuhan badan khusus berkenaan dengan penglibatan wartawan muda di samping wartawan senior untuk menasihati serta memberi teguran.

Mengenai Forum Media Nasional, Mokhtar berkata ia dapat menjadi platform kepada setiap pengarang berita untuk memikirkan mengenai masa depan profesion kewartawanan di Malaysia.

“Jadi forum hari ini kita lihat adalah penting untuk masa depan wartawan dan profesion kewartawanan di Malaysia. Jadi semasa forum ini para editor dapat bersama-sama memikirkan tentang masa depan kita,” katanya.

Sambutan HAWANA 2022 pagi ini dimulakan dengan dua sesi Forum Media Nasional bertemakan ‘Kewartawanan Era Revolusi Industri Keempat: Cabaran dan Peluang’.

Wacana pertama bertajuk ‘Memahami Perubahan Landskap Media dan Kewartawanan Model Baharu: Cabaran Kelestarian’.

Tiga ahli panel dijemput bagi membicarakan perkara berkenaan iaitu Pengarah Editorial Free Malaysia Today Jasbant Singh Partap Singh, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini.com Premesh Chandran dan Pengarang Kumpulan Media Mulia Azlan Jaafar.

Wacana kedua bertajuk ‘Kewartawanan 2030: Mengintai Landskap Masa Depan Media’ pula membariskan tiga panelis iaitu Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar, Ketua Editor Daily Express Zulhayati Dzulkifli dan Presiden Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS) Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican. – BERNAMA

- Advertisement -