Malaysia menuju ke arah negara menua 2030

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

JELI:
Kerajaan membuat persediaan secara lebih terperinci dengan mengubah dasar negara melibatkan aspek ekonomi dan kesihatan sebagai persediaan menghadapi negara menua menjelang 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata, berdasar rekod bancian dalam tempoh 10 tahun bermula 2010 sehingga 2020 kadar penuaan meningkat kepada 6.8 peratus berbanding 5 peratus.

Dengan peningkatan yang berlaku, kerajaan perlu merangka dasar yang sesuai dengan keadaan penduduk Malaysia yang berubah menghala kepada penuaan.

Katanya, Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) sebagai agensi yang bertanggungjawab bagi mewujudkan agenda perancangan negara menua sebagai persediaan pembangunan sosioekonomi negara jangka sederhana dan panjang.

- Advertisement -

“Gerak kerja tersebut melibatkan kementerian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysi (KKM) serta semua pihak berkepentingan.

“Tujuan perancangan terbabit untuk memantapkan lagi persediaan negara dalam menghadapi negara menua menjelang 2030,” katanya selepas pelancaran penerbitan statistik subnasional DUN dan penemuan utama banci penduduk dan perumahan Malaysia tahun 2020: daerah pentadbiran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci 2020 Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Mustapa berkata, impak negara menua merentasi pelbagai sektor dan bukan hanya tertumpu kepada penjagaan dan kebajikan warga emas sahaja.

Antara lain merangkumi aspek cabaran kesihatan, pendidikan, kewangan, produktiviti dan guna tenaga buruh, serta penggunaan teknologi.

“Fenomena sekarang kita patau dengan rapi proses penuaan, di mana mengikut bancian terkini komposisi penduduk umur tua iaitu 65 tahun dan lebih di Kelantan mencatatkan 6.4 peratus berbanding 6.8 peratus di peringkat Malaysia.

“Malaysia dijangka menuju ke arah negara menua pada tahun 2030. Ini menunjukan komplikasi kepada kesihatan, ekonomi, reka bentuk bangunan apabila peratusan tua meningkat dan ia ada kaitan dengan kemajuan ekonomi, pemakanan dan pendapatan,” katanya.

Mengulas perkara sama katanya, penuaan penduduk merupakan trend global masa kini yang mana ia berlaku disebabkan oleh peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kesuburan.

“Negara menua apabila kelahiran makin kurang maka dalam peratusan kita merupakan antara negara paling kecil dalam proses kelahiran iaitu sekitar 6.8 peratus yang seiring dengan Singapura dan Indonesia,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -