PAS bersama PN tawar kerajaan berintegriti, amanah

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

DUNGUN:
Kerajaan PAS Terengganu melahirkan komitmen untuk mewujudkan tadbir urus yang lebih baik pada fasa kedua sekiranya diberi mandat rakyat mentadbir negeri itu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kepimpinan PAS Terengganu sedang menyiapkan bleuprint untuk mentadbir negeri dengan lebih tersusun.

Bahkan, katanya penyediaan blueprint itu akan mendapat perhatian rakyat kerana menjadikan Terengganu lebih baik daripada negeri-negeri lain.

- Advertisement -

“Pemerintahan PAS penggal ini sebagai fasa pertama dalam mentadbir urus negeri. Dan fasa kedua, insya-Allah kita akan meletakkan blueprint lebih tersusun, lebih hebat yang akan dikenang rakyat kerana membawa Terengganu bukan sahaja ‘Maju, Berkat dan Sejahtera’ tetapi lebih baik daripada negeri-negeri lain, insya-Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Sambutan Ulangtahun ke-70 PAS Dungun di pekarangan Surau Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Sura Gate, Dungun, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.

Sehubungan itu, katanya PAS bersama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) berusaha sebaik mungkin menawarkan kerajaan yang lebih berintegriti, beramanah dan berbakti.

Dan yang paling penting kata beliau tidak malu untuk membetulkan kesilapan dan kelemahan.

“Kita ada kelemahan tetapi kita terbuka untuk melakukan perubahan. Kita mahu lebih adil dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Sebab itu, saya selalu berpesan kepada jentera-jentera di pelbagai peringkat. Adillah kita dalam melaksanakan tugas dan amanah. Adillah kita dalam melaksanakan pembahagian di peringkat kampung, daerah, majlis dan sebagai,” jelasnya.

Justeru, kata Naib Presiden PAS itu peluang dan ruang yang diberikan menjadi kerajaan di beberapa negeri bersama kerajaan Pusat adalah saat yang terbaik untuk ditunjukkan kepada masyarakat tentang peranan PAS.

“Keupayaan kerajaan PAS peringkat negeri dan menteri-menteri dan timbalan menteri kita di peringkat Pusat, sebenarnya suatu pameran kepada rakyat di seluruh negara.

“Di pantai barat, orang melihat PAS adalah parti utama di negara kita. Parti yang mempunyai dasar perjuangan yang jelas, dan insya-Allah yang penting untuk membentuk kerajaan Pusat di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Ini boleh menjadi contoh bahawa seluruh kepimpinan sama ada di peringkat negeri, Parlimen boleh menjadi pentadbir yang baik dan cemerlang,” ujarnya.

Menurut Dr Samsuri, jika PAS dapat mempamerkan keadilan dan keikhlasan dalam pentadbiran, nescaya akan jadi parti yang diyakini untuk terus memerintah pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 28/5/2022

- Advertisement -