Nelayan asing tunggu peluang masuki negara

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan akan terus melakukan rondaan sepanjang masa memandangkan terdapat bot-bot nelayan asing yang dikesan berada di perairan antarabangsa.

Nelayan terbabit pada bila-bila masa menunggu peluang menceroboh masuk perairan Malaysia untuk mengaut sumber-sumber perikanan.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, sekarang terdapat lapan hingga 10 bot asing sedang berada di perairan antarabangsa disyaki menunggu peluang untuk memasuki perairan negara ini.

- Advertisement -

Katanya nelayan terbabit dikesan berada di lokasi berhampiran pelantar minyak sambil menunggu peluang pada bila-bila masa menceroboh perairan Malaysia.

“Kita bekerjasama dengan pihak pelantar minyak dengan memberikan maklumat tentang pencerobohan pencerobohan nelayan asing pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Maritim Tok Bali di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, Maritim menahan 12 nelayan Vietnam dan merampas dua bot, peralatan menangkap ikan, ikan dan diesel bernilai lebih RM2 juta di perairan negara, semalam.

Menurutnya penangkapan itu dilakukan bot ronda daripada Pos Maritim Pangkalan Kubor, Tumpat yang menjalankan operasi bersepadu ‘Op Naga Barat dan Op Damai’ Siri 32/2022.

“Bot pertama dikesan pada jam 1.05 pagi di sekitar jarak 3.7 batu nautika daripada bot peronda dan mereka cuba melarikan diri selepas menyedari kahadiran bot peronda Maritim tetapi gagal selepas berjaya ditahan pada jam 1.30 pagi,” ujarnya.

Beliau berkata, bot kedua pula dikesan pada jam 1.45 pagi di lokasi kira-kira 1.1 batu nautika daripada bot peronda dan berjaya ditahan 15 minit kemudian.

Kata beliau nelayan asing berumur antara 25 hingga 61 tahun bersama dua bot, peralatan menangkap ikan, 600 kilogram ikan campur dan ikan baja serta 3,000 liter diesel ditunda ke ibu pejabat Maritim Tok Bali bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM6 juta bagi setiap tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985, bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak.

Manakala di bawah Akta Imigresen, tekong dan kru boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10 juta dan kru boleh dihukum tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali, selain itu boleh dikenakan tidak lebih enam kali sebatan mengikut Seksyan 6(3) Akta Imigresen 1959/63. – HARAKAHDAILY 28/5/2022

- Advertisement -