Warga emas hilang di Jeli sahabat karib MB

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT:
Warga emas yang hilang seminggu di Jeli baru-baru ini, Ya’cob Ismail, 76, merupakan sahabat baik Menteri Besar (MB) Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub.

Kehilangan Pok Kob turut mendapat perhatian segera Menteri Besar selepas diberitahu mengenai kehilangan itu minggu lalu.

Malah Ahmad turut meminta Pegawai Khasnya, Hushaimi Husian menyertai misi mencari Pok Kob bersama beberapa sukarelawan.

- Advertisement -

Hushaimi berkata, sebaik sahaja berita Pok Kob ditemui dimaklumkan kepada Menteri Besar, beliau memandu sendiri kenderaan ke rumah Pok Kob di Kampung Berangan, dekat sini.

“Bagaimanapun ketika itu Pok Kob masih belum pulang kerana dia masih lagi dirawat diHospital Jeli,” katanya di sini.

Menurutnya juga semalam beliau menemankan Menteri Besar sekali lagi datang ke rumah Pok Kob setelah mendapat khabar warga emas terbabit telah pulang ke rumahnya.

Kedatangan Menteri Besar kali kedua disambut Pok Kob dan keluarganya.

“Alhamdulillah Ustaz Mad bersyukur kepada Allah kerana Pok Kob yang hilang seminggu akhirnya ditemui selamat,” katanya.

Kehilangan Pak Kob sebelum ini disedari dua anaknya yang datang ke kebun di Pasir Dusun, Jeli untuk membantu bapa mereka.

Pesara kerajaan itu hilang pada 19 Mei dan gerakan mencari dilakukan anggota Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dibantu penduduk kampung.

Bagaimanapun petang Rabu lepas Pak Kob ditemui oleh penduduk kampung selepas tujuh hari hilang. Beliau dijumpai dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Pok Kob mengucapkan terima kasih di atas kunjungan Menteri Besar dan orang ramai yang datang bertanya khabar.

“Terima kasih banyak saya ucapkan kepada Menteri Besar kerana sudi datang menjengok saya, begitu juga semua petugas yang mencari dan mendoakan saya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/5/2022

- Advertisement -