Rafizi dan PKR sedang menghitung hari-hari akhir

RAFIZI Ramli jarang sunyi dari kontroversi. Apabila sahaja ada keperluan dan kepentingan buatnya maka tatkala itu beliau akan mencipta dan menyalakan apinya. Sesiapa yang mengenali susuk politik beliau tahu sangat akan gelagatnya.

Terbaru beliau bercita-cita mahu merampas kedudukan nombor dua dalam partinya setelah sebelum ini secara terbuka menyatakan mahu berehat dan mengundurkan diri. Kini musim pemilihan dalam PKR oleh itu tidak peliklah apabila Rafizi meluncur dengan cetusan kontroversi untuk menarik perhatian khasnya para pengundi dalam partinya.

Baru-baru ini dalam temuramahnya dengan media Cina, Sin Chew beliau memberitahu kononnya dalam PRU ke-15 nanti Pakatan Harapan mampu memenangi 80 kerusi Parlimen seluruh negara. Dari 80 kerusi itu, PKR akan menang 30 kerusi, DAP 35 manakala PAN 10.

Lain-lain parti gabungan PH 5. Ini bermakna PH tidak cukup kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dengan majoriti mudah dan memerlukan sekurang-kurangnya 32 lagi untuk memungkinkan ia punya peluang membentuk kerajaan.Apa tujuan ia lahir dengan spekulasi ini? Adakah beliau mahu menunjukkan bahawa tanpa beliau sebagai Timbalan Presiden PKR,

prestasi PH dan PKR akan merosot tidak sebagaimana pasca PRU14 lalu. Adakah beliau mahu menyatakan yang hanya beliau mampu meningkatkan undi dan sokongan pada PH dan PKR untuk kembali berkuasa di Putrajaya, adakah itu maksudnya?

Mungkin dengan lontaran sebegini akan terkedu dan terpesonalah ahli-ahli PKR, lalu memberikan undi pada beliau dan pasukannya untuk memegang tampuk kuasa dalam PKR.

Malangnya ramai juga tahu bahawa ramalan dan spekulasi Rafizi lazimnya meleset dan banyak yang tersasar jauh. Untuk sekadar memancing dan mempengaruhi para pengundi PKR, mungkin laku dan mengena agaknya umpan beliau itu tetapi ramai yang enggan menerima atau meyakininya.

Ramai yang masih ingat, semasa sedang ghairah dengan Invoke nya dulu, Rafizi pernah meramalkan yang PAS akan kecundang teruk dalam PRU ke-14 lalu. Katanya PAS akan hilang kerusi dan pengaruh di Parlimen dan di negeri-negeri yang sebelum ini ia kuat.

Apa yang jadi? Semasa PRU14 semua kita tahu, PAS bersendirian telah menang 18 kerusi Parlimen dan 90 kerusi DUN sehingga mampu mempertahankan Kelantan dan berkuasa kembali di Terengganu. Bagaimana Rafizi?

Sesungguhnya adakah PKR itu masih relevan dan gagah sebagaimana dahulu? Kalau diukur prestasi PKR sejak PRK DUN Rantau pada April 2019 sehinggalah membawa kepada Pilihan Raya Sarawak, Melaka dan terbaru di Johor, ia terus menjunam jatuh dan tidak bangkit-bangkit. Dalam PRN Sarawak umpamanya, PKR gagal memenangi walau 1 kerusi. 

Demikian juga ketika PRN Melaka sehingga ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Md Akin, yang kononnya diprojek untuk menjadi Ketua Menteri Melaka turut kecundang.

Dalam PRN Johor pula PKR cuma bertahan di 1 kerusi DUN. Sehinggakan ayam tambatannya ahli Parlimen Simpang Renggam, Mazlee Malek yang kononnya merupakan calon Menteri Besarnya turut tewas.

Boleh percaya atau terimakah lagi Rafizi ini? Sebahagian besar para penganalisa menjangkakan sebagaimana sekutunya DAP dan PAN, PKR juga kini dalam fasa merosotnya, PKR di bawah Anwar Ibrahim dilihat sudah tidak lagi memiliki kekuatan dan tenaga untuk kembali bangkit dan akan kalah termasuklah di dua buah negeri akhir yang ia kuasai iaitu di Negeri Sembilan dan Selangor.

Proses pemilihan dalam PKR yang disertai Rafizi dan kelompoknya dijangka memecah-belahkan parti itu dan kesannya akan menjejaskan lagi kedudukannya. Malah sesama parti dalam PH juga sedang bertelagah dalam pelbagai isu. Ada yang mahu berkerjasama dengan pihak lain selain kekal bertiga dalam PH, ada yang mahukan ‘poster boy’ baru, bukan lagi Anwar yang dilihat semakin hilang taring dan tidak lagi tangkas sebagaimana 20 tahun dahulu.

Dalam PRN Johor umpamanya, PKR sudah enggan menggunakan logo PH dan telah menggunakan logonya sendiri kononnya kerana pengundi Melayu akan menolak calon-calon mereka kiranya logo PH digunakan. Rupanya bukan hanya pengundi Melayu malah pengundi bukan Melayu juga sudah mula menolak PH di beberapa PRN negeri.

Mereka bukan lagi sebagaimana semasa PRU14 dahulu, apabila rakyat memberikan kepercayaan membuta-tuli pada mereka. Rakyat kini sudah sangat kenal dan malah bosan dan mual dengan apa sahaja janji mereka.

Dalam kemerosotan pengaruhnya, jika lawannya mampu membentuk kesatuan atau pakatan politik yang ampuh bukan sahaja PKR malah PH itu sendiri dijangka akan tertiarap tiada lagi mendapat tempat dalam arus perdana politik negara.

PAS perlu ke hadapan mengambil kesempatan dari kelemahan dan penolakkan rakyat terhadap PH dan PKR ini. PAS perlu meyakinkan semua pihak agar menumpukan serangan mereka hanya terhadap PH, memeterai pakatan politik dengan menghadapi PH satu lawan satu, elakkan sebarang perpecahan atau perbalahan sesama sendiri sebagaimana apa yang telah berlaku dalam PRN Melaka dan Johor.

PH dan PKR cukup terganggu dan tidak boleh senang duduk kiranya musuh mereka bersatu, menghadapi mereka satu lawan satu. Kerana itu mereka melancarkan pelbagai ‘divisionary tactic’ guna untuk mengalihkan pandangan rakyat dari kelemahan mereka yang semakin membusung itu. 

Mereka cuba melaga-lagakan sesama parti lawan, mereka kritik keras apa sahaja dasar dan polisi diperkenalkan kerajaan kerana mereka tahu jika pakatan menentang mereka itu kuat maka nasib dan masa depan mereka semakin parah, retak menunggu belah.

Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semakin diyakini rakyat hari ini. Rakyat cukup terpesona dengan kepimpinannya yang lebih moderat dan mendengar suara dan isi hati mereka, tiada tempat buat golongan rasis dan ekstremis dalam payung ‘Keluarga Malaysia’ ini. 

Rafizi boleh kata apa sahaja yang beliau mahu demi memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR yang beliau kemarukkan itu, tetapi realitinya PKR sudah hanyut jauh dari selera rakyat. Mereka sudah diajar hidup-hidup dalam 3 PRN Negeri iaitu Sarawak, Melaka dan Johor, dan kini merekalah seakan nyawa-nyawa ikan, menunggu saat ditalkinkan.

Semoga semua pihak di luar PH segera membentuk persefahaman, Rafizi, PKR dan PH sedang menghitung hari-hari akhir mereka.

Terokailah jalan penyatuan dan perpaduan demi membela dan mempertahankan nasib dan masa depan ummah. Rakyat Malaysia sedang menunggu-nunggu Pakatan politik yang baru yang lebih meyakinkan.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 27/5/2022

Advertisement