Wujudkan tabung jaga kebajikan wartawan – Presiden NPC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu tabung khas dicadang diwujudkan bagi memastikan kebajikan wartawan di negara ini terjamin.

Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Datuk Ahirudin Attan berkata fungsi tabung berkenaan juga meliputi aspek pendedahan kepada pelbagai latihan dan seminar bagi meningkatkan kualiti kerjaya kewartawanan.

- Advertisement -

“Mungkin di bawah kepimpinan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa satu tabung boleh diwujudkan bagi tujuan ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Koresponden Bernama terbitan Bernama TV bertajuk ‘Hak dan Kebajikan Wartawan Diperjuangkan’ sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022.

Katanya, tabung itu boleh dilaksanakan mencontohi mekanisme HRD Corp yang menguruskan dana antaranya untuk membiayai program latihan serta pembangunan kemahiran.

Ahirudin berkata wartawan juga perlu sedar bahawa kerjaya mereka tidak menjanjikan kemewahan kerana ia merupakan tugas berdasarkan minat untuk berkarya. 

Justeru, katanya pengamal media perlu memastikan mereka mempunyai sumber kewangan kedua seperti menulis buku dan berniaga sebagai persediaan jika mereka kehilangan pekerjaan.

Sementara itu, beliau berkata penganjuran HAWANA merupakan inisiatif yang sangat baik dalam menyatukan pengamal media di Malaysia supaya ekosistem bidang kewartawanan di negara ini lebih diperkukuh pada masa depan.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) akan menjadi penggerak utama penganjuran HAWANA 2022, dengan disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan turut melibatkan organisasi, persatuan dan pengamal media lain.

HAWANA 2022 yang bakal berlangsung pada Ahad ini di Melaka, dianjurkan bagi mengiktiraf peranan golongan wartawan dan pengamal media Malaysia, selain platform kepada pengamal media untuk berkongsi pendapat dan meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan industri media di Malaysia. – BERNAMA

- Advertisement -