Tiada keperluan wujudkan regu campuran lelaki wanita

Sepak takraw

BERSUKAN adalah amat dituntut dalam Islam. Setiap insan digalakkan menjaga tubuh badan agar kekal cergas dan sihat, supaya ia dapat digunakan untuk menunaikan tugas dan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah.

Namun dalam bersukan, ada batas yang perlu dipatuhi. Antaranya, sukan tersebut tidak boleh sehingga melanggar batas syarak yang ditetapkan. Contoh, walaupun dalam bersukan, pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi harus dielakkan sebolehnya.

Advertisement

Atas sebab itu, Dewan Pemuda PAS menzahirkan kebimbangan terhadap cadangan terbaru ISTAF dalam mewujudkan acara kategori regu campuran antara lelaki dan perempuan dalam sukan Sepak Takraw, yang akan pertama kali diperkenalkan dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand ke-35 di Bangkok dari 23 hingga 31 Julai depan. Difahamkan, sebelum ini terdapat ura-ura untuk acara ini diperkenalkan pada Kejohanan Sukan SEA Kali ke-31 di Hanoi, tetapi tidak dapat dilaksanakan.

Pemuda PAS berpendapat tiada keperluan untuk mewujudkan kategori ini, selain ianya tidak sesuai dengan budaya ketimuran dan adat masyarakat Asia Tenggara selaku pewaris dan pengasas sukan Sepak Takraw. Dari segi kesesuaian juga, agak sukar untuk kategori ini dilaksanakan dengan baik kerana perbezaan fizikal dan kekuatan antara lelaki dan perempuan. Cadangan ini juga pernah ditegur oleh mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang menyifatkan ia sebagai acara sarkas dan cadangan mengarut.

Di sebalik mewujudkan kategori sebegini, adalah lebih baik sekiranya ISTAF dapat memperkasakan acara dan kategori sedia ada bagi mengangkat martabat Sukan Takraw di mata dunia. Begitu juga Persatuan Sepak Takraw Malaysia digesa untuk tidak menyertai kategori ini dalam Kejohanan Dunia tersebut. Adalah lebih baik segala usaha dan kudrat digunakan untuk menguatkan skuad yang sedia ada bagi mengembalikan kegemilangan Malaysia di mata dunia dalam sukan Sepak Takraw. 

Setiap yang kita lakukan pasti akan membuahkan hasil dan kejayaan, seandainya prinsip syarak yang menjadi tunjang tidak digadaikan hanya untuk bersukan.

FAIZUDDIN ZAI 
Pengarah DACS
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 26/5/2022