Stesen bas, ECRL: Dengki politik terhadap survival ekonomi Kelantan

- Advertisement -

DI TANAH milik orang itu hanya stesen bas sementara. Stesen bas yang sebenar akan dibina berdekatan terminal ECRL di bandar Tunjong. Stesen bas ini dirangkum dalam Projek Pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral).

Memang telah ada dalam perancangan pun dan majlis pecah tanah bakal dilakukan, bulan hadapan. Namun nak tutup mulut perlekehan politik bukan senang. Ini kerana pencetus kepada gelombang perlekehan untuk Kelantan ini dibuat secara terancang dengan kelicikan politik serta kesumat di hati.

- Advertisement -

Lebih busuk lagi apabila perlekehan politik ini datang daripada propagandis PH yang buat-buat lupa atas pengkhianatan politik terhadap ECRL bagi kemanfaatan rakyat Kelantan.

Rakyat Kelantan masih tidak lupa bagaimana Anthony Loke, Menteri Pengangkutan di era 22 bulan PH cuba untuk mengalihkan isu daripada menjawab mengapa stesen ECRL di Kelantan dikurangkan daripada 5 kepada 2 dalam sidang Parlimen 10 Julai 2019.

Selain itu, cadangan jajaran Selatan ECRL melalui Negeri Sembilan di era Loke boleh menyebabkan kargo jambatan darat (land bridge) bagi pengangkutan melalui rel antara Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan menjadi lebih panjang tempoh perjalanannya.

Entah apa lebihnya Negeri Sembilan untuk Loke dan mungkin beliau lebih tahu kenapa. Di samping itu, asalnya ECRL ini bertujuan untuk memintas Singapura bagi mengangkut kargo dalam tempoh masa yang lebih cepat. Takkan la tak mahu beri peluang Malaysia bersaing dengan Singapura.

Natijahnya, jika jajaran Selatan itu berlaku, kesan negatif terhadap Kelantan jelas. Tempoh masa perjalanan rel daripada Kota Bharu ke Pelabuhan Klang meningkat menjadi 6 jam berbanding 4 jam jika melalui jajaran asal iaitu jajaran Utara.

Nampaknya Kelantan terkena lagi! Ini menyerlahkan wajah sebenar kedengkian dan diskriminasi politik PH. Sebelum ini bukan main lagi menuding kepada BN.

Perubahan politik pasca kejatuhan PH, laluan rel ECRL telah kembali mengikut jajaran Utara. Jajaran rel laluan Utara ini melalui Bentong, Gombak, Serendah dan Pelabuhan Kelang. Justeru, memendekkan masa perjalanan dan beri manfaat lebih untuk rakyat Kelantan.

Dengan terus memandang ke hadapan, Kerajaan Negeri Kelantan akhirnya menerima ruang pembangunan projek ECRL dengan lapang dada walaupun terasa sedikit berat. Terus berbalah sampai terus tertangguh, maka rakyat Kelantan lagi rugi.

Kelantan sentiasa berharap limpahan ekonomi supaya pembinaan ECRL ini akan merancakkan ekonomi dan memakmurkan negeri. Pengumuman peluang pekerjaan oleh Ketua Bahagian Strategi Malaysia Rail Link (MRL), Zaidi Sharif pada 18 Mei 2022 di sambut dengan penuh syukur.

Menurut beliau, setakat ini Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI-ECRL) di bawah Malaysia Rail Link Sdn. Bhd (ECRL) bersama China Comunications Construction Company (CCCC) disertai 1,800 orang dengan 500 orang diserap bekerja.

Alhamdulillah, semoga projek yang dijangka siap pada 2026 dapat dilaksanakan dengan lancar agar limpahan nikmat dapat dirasai oleh rakyat Malaysia umumnya dan anak Kelantan khususnya.

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre
26 Mei 2022 – HARAKAHDAILY 26/5/2022

- Advertisement -