Remaja Palestin 16 tahun maut ditembak Israel di kepala

Ghaith Yameen ialah rakyat Palestin ke-56 dan kanak-kanak ke-10 dibunuh tentera zionis Israel pada 2022. (FOTO english.alaraby.co.uk)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

NABLUS, PALESTIN: Seorang remaja Palestin berusia 16 tahun maut selepas ditembak di kepala oleh pihak berkuasa Israel dan meninggal dunia semalam selepas pertempuran di bandar Nablus, Tebing Barat yang diceroboh.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, remaja tersebur dikenali sebagai Ghaith Yameen terbunuh selepas peluru menembusi belakang kepalanya semasa konfrontasi antara anak-anak muda Palestin dan tentera zionis Israel.

- Advertisement -

“Ghaith hanyalah seorang kanak-kanak, dan dia masih kecil lagi. Dia seorang budak yang baik, disayangi oleh semua orang, sentiasa sopan dan belajar bersungguh-sungguh,” kata bapa mangsa, Rafeeq Yameen kepada The New Arab.

Sementara itu, guru Ghaith di Sekolah Menengah Lelaki Abdel Hamid Sayeh, Mujahed Hammami berkata, Ghaith merupakan seorang pelajar yang sangat baik dan baru semalam, dia memperoleh 12 daripada 15 gred dalam peperiksaan subjek teknologi.

“Ghaith juga sangat terharu dengan peristiwa Jenin dan Baitulmaqdis sebelum ini, dan apabila saya bertanya kepadanya tentang rantai yang dipakainya, dia memberitahu saya ia adalah gambar salah seorang pemuda Nablus yang dibunuh Israel beberapa bulan lalu,” ujar Hammami yang sedih mengenangkan Ghaith.

Ibu Ghaith menatap wajah anaknya buat kali terakhir. (FOTO Palestine Online)

Sementara, menurut agensi berita rasmi Palestin Wafa pula, sekurang-kurangnya 80 rakyat Palestin lain cedera pada malam Selasa semasa konfrontasi dengan tentera Israel di kawasan Nablus, termasuk 19 cedera selepas terkena peluru getah dan lebih 65 orang cedera akibat terkena gas pemedih mata.

Perdana Menteri Palestin Mohammad Shtayyeh dan Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat dalam dua kenyataan berasingan mengutuk pembunuhan Yameen dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak dan rakyat Palestin secara amnya.- HARAKAHDAILY 26/5/2022

- Advertisement -