Pastikan petani, penternak tempatan tidak tergugat

Keputusan Kabinet mansuh permit import (AP) bahan makanan

- Advertisement -

KERAJAAN perlu memberi jaminan bahawa petani dan penternak tempatan tidak terjejas berikutan keputusan kerajaan untuk memansuhkan permit import (AP) bagi komoditi agromakanan yang telah berkuat kuasa serta-merta. Kapasiti pengeluaran makanan petani dan penternak tempatan perlu ditingkatan bagi memastikan kelangsungan rantaian makanan dalam negara terus terpelihara.

Meskipun dari sudut positif pemansuhan permit import dapat menstabilkan harga barang dan memastikan bekalan makanan negara terjamin, namun begitu peningkatan persaingan yang tinggi antara pengusaha petani dan penternak tempatan dengan industri pengeluar produk import makanan perlu diambil kira.

- Advertisement -

Selain itu, kebergantungan negara yang berterusan dan meningkat terhadap rantaian makanan global juga cukup membimbangkan. Merujuk laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, purata kadar pertumbuhan import agromakanan meningkat lebih tinggi iaitu 6.69 peratus setahun berbanding pertumbuhan purata eksport agromakanan dalam tempoh 2010 hingga 2020. Begitu juga dengan jumlah import bahan makanan negara juga terus meningkat daripada RM45.3 bilion pada tahun 2015 kepada RM55.4 bilion pada tahun 2020.

Ironinya, pemansuhan AP bahan makanan juga boleh menyumbang kepada kenaikan harga barang makanan Malaysia, apabila nilai harga makanan global meningkat. Rentetan daripada rantaian ini akan memberi tekanan kepada rakyat yang berpendapatan rendah.

Sehubungan itu, kerajaan perlu memastikan petani dan penternak tempatan tidak tergugat ekoran pemansuhan AP bahan makanan yang dilaksanakan. Malahan, sistem pengeluar makanan daripada petani dan penternak tempatan juga perlu diperbaiki dari semasa ke semasa dengan pelaksanaan strategi dan inisiatif yang boleh mengembangkan industri pertanian setiap negeri tanpa bergantung sepenuhnya bahan makanan import. 

Islam Menyatukan Ummah”

YB TUAN CHE ALIAS HAMID
Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 26/5/2022

- Advertisement -