Kerajaan negeri sedia modal bantu belia berniaga

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Sebelum ini ramai seronok bercakap kononnya di Kelantan tiada peluang pekerjaan, namun sekarang isu itu tidak kedengaran lagi.

Kerajaan negeri sejak dahulu berusaha menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia. Antaranya mengadakan latihan industri dengan membekalkan tenaga kerja di sektor perkilangan di Lembah Klang dan kawasan perindustrian lain.

Selain itu membimbing belia dan beliawanis terbabit dengan perniagaan termasuk penyediaan makanan, tukang gunting, tukang jahit dan pelbagai lagi.

Dan terbaharu kerajaan negeri mewujudkan Stesen Mek Awe bagi membantu golongan belia berniaga dengan dibimbing usahawan yang berjaya.

- Advertisement -

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri melalui Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) mewujudkan kemudahan terbabit untuk memberi peluang anak-anak muda berniaga.

“Kerajaan menyediakan modal dan kemudahan tempat berniaga termasuk kios dengan bimbingan vendor untuk membantu mereka muncul sebagai peniaga yang berjaya.

“Belia yang berminat menyertai Stesen Mek Awe tidak dikenakan sebarang bayaran,” katanya selepas merasmikan cawangan baru Stesen Mek Awe di perkarangan Masjid Rithaudeen di Wakaf Mek Zainab semalam.

Hadir sama Timbalan Exco Belia, Sukan dan NGO Zuraidin Abdullah, Adun Tanjung Mas Rohani Ibrahim dan Pengarah U-Bes Nasruddin Mahmud Muhaidin.

Sebelum ini tiga Stesen Mek Awey diwujudkan iaitu di Bandar Baru Tunjong, di Kampung Berangan Tumpat dan Labok Pulai Chondong.

Program tersebut mendapat kerjasama lima vendor iaitu Syukor Burger, Street Bite, Mr Tako, Subdepo Fried Chicken dan Brew Street Coffee. – HARAKAHDAILY 26/5/2022

- Advertisement -