Islamis bukan golongan kiri atau kanan

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Pengkategorian golongan kiri dan kanan mengikut perspektif Barat yang digunakan sejak zaman penjajahan menyebabkan golongan Islamis dilabelkan sebagai golongan kiri dalam sejarah nasionalisme Malaysia.

Profesor Sains Politik, Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, berkata golongan kiri dan kanan adalah istilah yang arbitrari atau tidak berasaskan pertimbangan yang tertentu dan di dunia Barat, pengkategorian dibuat berasaskan ideologi dengan golongan kiri dikaitkan dengan politik sosialis.

Advertisement

Apabila kategori itu digunakan di negara ini, katanya golongan kanan dalam sejarah rasmi banyak dikategorikan sebagai kumpulan baik, terutama dengan budaya Melayu dipengaruhi Islam, perkara yang berkaitan kanan adalah baik seperti langkah kanan dan makan menggunakan tangan kanan.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, tanpa disedari ini mempengaruhi penulisan politik apabila golongan Islamis dikaitkan dengan politik berhaluan kiri.

“Ini menerbitkan sentimen negatif terhadap mereka yang memperjuangkan Islam sebagai satu cara hidup dan sistem politik. Istilah yang sering saya gunakan dalam penulisan ialan Islamisme, satu istilah yang telah lama digunakan sejak tahun 1960-an.

“Walaupun istilah ini menjadi popular, tetapi popular secara kurang positif pada tahun 1980-an, ketika era kebangkitan Islam. Islamisme banyak digunakan dalam konteks berkaitan ekstremisme dan banyak digunakan untuk figura seperti Sayyed Qutb dan Al-Maududi,” katanya.

Dr Ahmad Fauzi berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama dalam Seminar Kebangsaan `Islam dalam Arus Sejarah, Perubahan Masyarakat dan Perjuangan Politik di Malaysia’ yang bertemakan Mengangkat Peranan Islam Dalam Sejarah.

Seminar secara dalam talian, hari ini, adalah anjuran bersama Bahagian Sejarah dan Bahagian Sains Politik USM, Penerbit USM dan Penang Institute.

Bagaimanapun, Dr Ahmad Fauzi berkata, Islamisme bukan istilah yang terlalu asing dan memang telah lama wujud kerana mantan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Allahyarham Dr Zulkifli Muhammad, menggunakan istilah itu yang bermaksud ideologi politik Islam.

Sehubungan itu, katanya persoalan ini perlu dilihat secara meluas dengan golongan agama sebenarnya perlu diberikan identiti yang tersendiri dan bukan golongan kiri atau kanan.

“Kebanyakan penulis menggolongkan Islam sebagai sebahagian golongan kiri. Maka disebutlah pejuang Islam turut sama berkomplot atau bersekongkol dengan Parti Komunis Malaya. Kita boleh melihat bentuk tulisan ke arah itu, terutama dalam sejarah rasmi negara ini yang kemudian diinstitusikan dalam buku teks yang kita belajar sejak dahulu,” katanya.

Sementara itu, katanya penulisan mengenai Islam tidak semestinya bersifat objektif, sebaliknya sangat bersifat subjektif kerana bergantung kepada identiti dan peribadi penulis.

“Sebagai contoh kalau kita melihat cemuhan Stamford Raffles terhadap Islam pada eranya, tidak boleh kita pisahkan identitinya sebagai seorang tokoh Freemason yang awal di Asia Tenggara.

“Perkara ini dalam sejarah akan dinilai, siapa dia, apa peribadinya dan apakah bentuk penulisan itu dipengaruhi oleh identitinya walaupun dikatakan objektif, tetapi betul kah objektif,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/5/22