Bersatu akan kemuka pengganti Zuraida kepada PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, beliau akan mengemukakan satu nama baru kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet bagi menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, ini memandangkan kedudukan Zuraida sebagai Menteri adalah atas kuota Bersatu.

Menjelaskan lanjut, katanya kedudukan Zuraida sebagai ahli Bersatu telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu baru-baru ini.

- Advertisement -

Tambahnya, terdapat laporan bahawa Ahli Parlimen Ampang itu terlibat secara langsung dalam penubuhan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti tersebut.

Susulan itu, ujarnya satu surat tunjuk sebab bertarikh 9 Mei 2022 telah dihantar kepada beliau.

Muhyiddin berkata, Zuraida telah menjawab surat tunjuk sebab tersebut menerusi sepucuk surat bertarikh 23 Mei 2022.

Katanya lagi, langkah seterusnya ialah untuk merujuk kes Zuraida ke Lembaga Disiplin parti.

“Namun demikian, memandangkan beliau telah membuat pengumuman untuk menyertai PBM melalui satu kenyataan akhbar hari ini, keahlian beliau dalam Bersatu telah gugur serta merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan Bersatu.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas segala sumbangan beliau kepada Bersatu selama ini,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Zuraida mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dengan menyatakan untuk menyertai PBM, hari ini. – HARAKAHDAILY 26/5/2022

- Advertisement -