Saranan buat kerajaan: Hati-hati perkenal subsidi bersasar

- Advertisement -

Oleh  ZULHAIDI  MANSOR

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran sentiasa berhati-hati sebelum memperkenalkan subsidi bersasar atau menaikkan harga petrol supaya tidak wujud kesan berantai terhadap harga barangan yang lain.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, impak berantai terhadap harga barang di pasaran akan memburukkan lagi keadaan, menyebabkan rakyat tidak berasa selesa dengan kenaikan tersebut, dan seterusnya memberikan kesan yang mendalam kepada mereka.

- Advertisement -

Menurutnya sekarang ini, rakyat sudah mula menyuarakan pendapat tentang kesukaran yang dihadapi oleh mereka.

“Justeru, saya berharap agar kerajaan dapat bertindak dengan kadar yang segera dalam mengambil langkah yang efektif dan strategik sebelum menaikkan harga petrol kerana ia akan menyebabkan ketidakpuasan hati rakyat bertambah,” ujarnya.

Mohd Yusof Abdul Rahman

Tambah beliau, sebelum ini kerajaan menyatakan bahawa ada berkemungkinan alternatif subsidi bersasar bakal diperkenalkan terutamanya untuk petrol dan ia akan melibatkan perubahan harga bagi golongan tertentu.

“Isu subsidi bersasar yang sudah lama disebut sebenarnya cuma masih belum dilaksanakan oleh kerajaan. Namun, kita sedia maklum apabila berlaku peningkatan harga petrol, ia akan memberikan kesan kepada banyak sektor lain seperti sektor pengangkutan,” tegasnya. 

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid pula berkata, kenaikan harga minyak mentah yang merupakan harga global akan menguntungkan negara kita dari segi pendapatan eksport negara akan bertambah baik.

Mengulas lanjut, Zakariah menjelaskan bahawa kerajaan persekutuan akan  memperoleh keuntungan melalui hasil eksport serta cukai yang dikenakan, selain dividen daripada Petronas yang mana akan disalurkan kepada kerajaan persekutuan yang akan menjadikan akuan miliknya akan menjadi lebih baik.

Isu kenaikan petrol mampu menjerumuskan negara kepada masalah inflasi yang akan membebankan rakyat.

“Namun dari aspek lain, isi rumah sebaliknya akan menjadi agak parah kerana apabila harga minyak mentah naik, maka harga minyak di stesen minyak sepatutnya akan naik juga tetapi kerajaan tidak membenarkan hal sedemikian berlaku, yang mana kerajaan meletakkan harga siling kawalan bagi petrol RON 95,” jelas beliau kepada HarakahDaily di sini, hari ini.

Katanya lagi, kerajaan telah menyatakan akan mempertahankan harga kawalan bagi petrol RON 95 yang menyebabkan isi rumah menjadi lebih mampu membeli petrol dan semua yang berkaitan dengannya. 

Zakariah Abdul Rashid

Di samping itu ujarnya, harga petrol yang diberikan subsidi oleh kerajaan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang lebih besar lagi untuk menjadikan isi rumah mampu membeli.

“Hal ini menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang makin besar, yang akan menyebabkan defisit dalam akaun kerajaan persekutuan menjadi lebih parah.

“Defisit yang besar akan menyebabkan ekonomi negara menjadi kurang kompetitif dan kurang daya saing, dan seterusnya menyebabkan pelabur akan menjadi kurang minat untuk melabur di Malaysia.

“Impak isu petrol ini berantai terutamanya kesan tidak langsung lebih besar daripada kesan langsung dan apabila harga petrol naik, ia akan menolak kos pengeluaran antaranya seperti kos pengangkutan dan kos bahan-bahan pengeluaran akan turut naik, dan ini akan menjurus kepada inflasi,” kata Zakariah.

Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan.

“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata kenyataan kementerian itu. – HARAKAHDAILY 25/5/2022

- Advertisement -