Perlu pinda segera Akta DBP lahir jati diri warga

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU:
Kerajaan perlu menyegerakan pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bagi melahirkan warga negara ada jati diri seperti di Indonesia, Thailand dan Jepun.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Zulkeflee Yaacob berkata, pindaan tersebut wajar disegerakan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai roh anak-anak watan.

Katanya negara perlu akta yang jelas bagi melahirkan rakyat berjiwa kental bagi menghadapi ancaman media sosial yang melemahkan identiti kebangsaan.

- Advertisement -

“Akta DBP 1959 hanya menyebut tugas-tugas sepatutnya sahaja. Dengan pindaan di Parlimen DBP menjadi badan penguat kuasa yang akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak melanggar undang-undang bahasa.

“Ini kerana selepas 6 dekad merdeka dikesan masih banyak penggunaan papan tanda pelbagai bahasa dan lebih keterlaluan apabila bahasa kebangsaan di kesampingkan,” katanya di sini.

Baru-baru ini Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor memberitahu kerajaan akan meminda Akta DBP 1959 bagi memberi kuasa lebih luas kepada DBP bagi memastikan bahasa Melayu digunakan secara menyeluruh.

Dr Zulkeflee juga berkata, DBP wajar diberi kuasa sebagai badan yang bertanggungjawab meluluskan penggunaan bahasa di papan tanda premis perniagaan, pejabat atau jalan.

Menurutnya juga apa yang berlaku sekarang bahasa Melayu pada papan iklan diletak paling bawah atau di hujung dengan saiznya kecil dan tenggelam.

Malah kata beliau penggunaan bahasa Inggeris pada papan tanda yang dianggap mempunyai nilai ekonomi hanya metos kolonial sahaja bagi menghilang jati diri nasional negara. – HARAKAHDAILY 25/5/2022

- Advertisement -