Penanaman kelapa skala besar di Kelantan

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kelantan merancang untuk mengurangkan kebergantungan bekalan kelapa import dengan mengenal pasti kawasan yang sesuai bagi penanaman skala besar untuk memenuhi permintaan tempatan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, usaha itu akan dilakukan melalui anak syarikat kerajaan dan pelabur.

Katanya, kawasan seluas 100 sehingga 200 ekar sudah dikenal pasti untuk melaksanakan projek tanaman kelapa dalam skala besar.

Advertisement

“Kerajaan negeri menyasarkan dalam tempoh 10 tahun akan datang bekalan kelapa tempatan dapat memenuhi permintaan pengguna.

“Insya-Allah saya yakin dalam masa 10 tahun lagi keperluan kelapa dapat kita sediakan daripada sumber tempatan tanpa bergantung kepada bekalan kelapa luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran kempen ‘Taney Nyor’ al Falah peringkat Dun Kadok di Dewan Dato’ Kadok semalam.

Hadir sama Adun Kadok Dato’ Sr Azami Mohd Noor, penghulu dan pemimpin tempatan.

Tuan Saripudin juga berkata, kempen tanam kelapa melibatkan 13 Dewan Undangan Negeri (Dun) disertai seramai 100 peserta bagi setiap Dun.

Menurutnya juga mereka dipilih bagi menerima sumbangan lima benih kelapa dan bantuan baja daripada kerajaan negeri.

“Mereka menerima dua kelapa matag dan tiga kelapa Malay Yellow Dwarft (MYD) kerana variasi terbabit dilihat cepat membesar di mana tempoh dua tahun sudah mengeluarkan buah dan pokok tidak tinggi.

“Kerajaan negeri membelanjakan RM300,000 bagi menyediakan anak pokok kelapa dan bantuan baja bagi membantu penduduk meningkatkan pendapatan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/5/2022