Pembangunan kilang AT&S di Kulim rancak

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kerja-kerja pembangunan kilang AT&S di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) berjalan lancar kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya, perkembangan projek pembinaan kilang berkenaan semakin mengujakan dan ia akan memberi manfaat kepada rakyat.

Bagaimanapun, kata beliau kerja-kerja pembinaan menghadapi sedikit kesukaran untuk mendapatkan bahan asas ekoran kenaikan harga bahan binaan sekarang.

- Advertisement -

“Pemintaan terhadap sektor industri meningkat mendadak menyebabkan harga bahan binaan melonjak.

“Selain masalah bahan-bahan binaan, beberapa perkara perlu diambil perhatian segera kerajaan antaranya kesesakan lalulintas di jalan utama dan di kawasan KHTP,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya semalam.

Menurutnya beliau menerima kunjungan pihak pengurusan tertinggi AT&S bagi menyelesaikan beberapa isu berkaitan pelaburan mereka di KHTP termasuk berkaitan masalah bekalan air dan tenaga.

Kata beliau juga AT&S memerlukan kira-kira 6,000 pekerja di sektor pembinaan dan 350 kakitangan pentadbiran dan teknikal.

“Sebahagian mereka sedang dilatih di KISMEC dan ada antaranya sudah mula bekerja. Seramai 120 pekerja teknikal pula akan menjalani latihan di kilang mereka di China,” kata beliau.

Sanusi turut merakam ucapan terima kasih kepada syarikat terbabit yang memilih Kedah sebagai destinasi pelaburan mereka. – HARAKAHDAILY 25/5/2022

- Advertisement -