Kalau ‘bela hantu raya’, rakyat akan kebuluran

- Advertisement -

PAKAR Ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, lambakan penawaran bahan makanan dalam pasaran bukanlah sesuatu yang negatif memandangkan ia sememangnya perkara diperlukan bagi menampung permintaan pengguna.

Ya, bahan makanan kita kena banyak tidak bermaksud membazir, tetapi memenuhi kecukupan dan dapat dimiliki setiap rakyat. Ini soal keperluan asasi harian untuk kelangsungan kehidupan yang fitrah dan bukannya kehendak atau pilihan. Bayangkan kita dari begitu mewah makanan hingga dibuang-buang, kini serba tak cukup. 

- Advertisement -

Malangnya, di negara kita bahkan peringkat global juga, makanan asasi telah menjadi mangsa ‘spekulasi’ yang diambil kesempatan oleh sekelompok manusia durjana. Mereka pentingkan diri, hendak mengaut wang dengan banyak secara cepat dan gelojoh. Mereka jadikan makanan hingga tidak mampu dibeli orang ramai, ini barulah patut dikatakan membazir, semuanya mahu dikayangankan. 

Benar, mereka itu di sektor perniagaan, tetapi maaf saya katakan, kian lama semakin melampau, melampau dan melampau. Dunia kita sudah cukup sengsara dengan perubahan iklim dunia, wabak penyakit, konflik politik dan peperangan, kini mereka pemegang pasaran pula cuba mencengkam.

Semua itu kerana nafsu dan sikap yang penuh tamak haloba. Kini semua kita dalam keadaan terancam gugat tidak cukup makanan kerana wujud kegiatan monopoli, menyorok, mengawal, memanipulasi dan pelbagai bentuk sabotaj lainnya ala-ala perangai Komunis. Langsung tidak ada belas kasihan. 

Sedangkan sebahagian besar warga dunia bangun bergelut untuk bangkit semula memulihkan kehidupan. 

Kerajaan di pihak rakyat

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Dr Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh menyuruh supaya ‘permainan dan percaturan’ harga dihentikan. Tanpa beliau menyebut secara spesifik kepada siapa ditujukan, ia sudah cukup mengisyaratkan satu peringatan dan amaran bahawa pihak kerajaan sedar segala helah pihak berkepentingan terbabit.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pula setelah itu bersuara lebih tegas dengan mengisytiharkan perang hingga rakyat kembali mendapat bekalan yang terjamin cukup dan harga sesuai kos sara hidup. 

Seperti dinyatakan Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, inisiatif ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’ diperkenalkan Ismail Sabri pada tahun 2014 dahulu mesti diperkasakan menjadi satu gerakan meluas yang didukung semua pihak.

Ahli Dewan Negara mewakili PAS itu menegaskan supaya dihapuskan semua pencatur bekalan dan harga tanpa mengira mereka itu dalang, jerung, sindiket, kartel atau apa sahaja namanya. Bidasnya, mereka inilah musang-musang yang bersembunyi di sebalik industri ternakan dan bekalan ayam.

Syukurlah sejak negara diterajui Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin diikuti Kerajaan Keluarga Malaysia oleh Ismail, banyak kepentingan rakyat dijaga, didahulukan dan dilindungi. Tak kurang juga pelbagai inisiatif dan bantuan, skim-skim dan segala pakej rangsangan ekonomi untuk setiap lapis golongan.

Kenali penindas rakyat

Semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah negara selama 22 bulan, banyak peruntukan kepada rakyat dikurangkan dan dihapuskan. Rakyat kononnya dinasihat membuang ‘mentaliti’ bantuan dan subsidi. Malangnya senyap-senyap PH menjual banyak aset harta kepentingan rakyat dan negara. 

PH juga melanjutkan pelbagai konsesi, sedang projek-projek ke arah kehidupan rakyat untuk kemudahan asas semasa dibatalkan. Itu tidak termasuk pelbagai perundangan cuba mereka ubah atau tandatangani untuk ‘menjual negara’ ini dan merobohkan struktur asalnya.

Kegiatan ‘mendesak’ keluar isi poket rakyat ini bukan kelicikan baru. Ia telah berleluasa sekian lama hatta dalam kerajaan apabila menggunakan mandat keputusan atau kelulusan tertentu untuk yang kaya menjadi semakin kaya, tapi rakyat tercekik! Banyak rancangan pembangunan diperkenalkan selain penswastaan dan pengkorporatan, tetapi rakyat kena bayar! 

Mahal dan semakin mahal, naik, naik, naik tak pernah turun-turun atau ada pengecualian. Sekolah, hospital serta banyak perkhidmatan kerajaan yang lain kena bayar. Belum lagi kira cukai tanah, cukai pintu, cukai jalan, lesen itu dan ini. Satu kajian menyatakan, rakyat Malaysia kena bayar kepada kerajaan sekitar 20 peratus dari jumlah pendapatan setiap tahun.

Bela hantu raya

Saya tertarik bila Senator Ir Ts Khairil Nizam persoal mengenai ‘lembaga atau hantu raya’ yang sukar diusir atau dihapuskan di mana mereka mungkin’ dibela’. Ya, inilah gangsterisme yang wujud dan mencengkam mana-mana kerajaan berkepentingan mengatasi naungannya ke atas rakyat. 

Bila tunduk kepada semua pihak-pihak yang berkepentingan peribadi, lalu rakyatlah yang menjadi mangsa. Kini zaman untuk menjaga golongan tersebut telah berakhir dan mereka mesti ditundukkan dari mengugut dan menggigit kerajaan. Pembelaan sebenar adalah kepada rakyat yang menjadi tanggungjawab terpenting kepada kerajaan.

Biarlah namanya kroni hatta keluarga atau ‘sons’ sekalipun, aset dan harta serta hasil kerajaan adalah milik rakyat. Jadi kenyangkan perut rakyat, bukannya buat mereka mungkin kebuluran! 

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 25/5/2022

- Advertisement -