Inisiatif kerajaan diharap selesai isu bekalan ayam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan bagi meningkatkan penanaman jagung dan hampas isirung kelapa sawit (PKC) sebagai alternatif makanan ayam merupakan usaha yang wajar ambil perhatian semua pihak.

Pengerusi Lajnah Ekonomi Dan Kewangan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Norhafiza Fadzil berkata, kerajaan turut menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan, Pertubuhan Peladang dan Koperasi terlibat industri penternakan ayam.

Katanya, usaha tersebut diharap dapat menyelesaikan isu bekalan ayam di negara ini dalam tempoh jangka panjang.

- Advertisement -

“Kekurangan bekalan ayam antaranya dikenal pasti berpunca harga makanan ayam meningkat di pasaran sekarang.

“Harga dedak dahulu seguni 50 kilogram (kg) RM98, tetapi sekarang seguni RM144. Ini antara punca kenaikan harga ayam,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor meminta Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menguasai industri penternakan ayam untuk menangani isu kekurangannya.

Isu kekurangan bekalan ayam bermula sejak Oktober tahun lalu, apabila pengeluaran ayam daripada ladang tempatan tidak mencapai kadar keperluan negara. Purata keperluan ayam di Malaysia 2.09 juta ayam sehari.

Norhafiza juga berkata, krisis kenaikan harga bahan mentah berulang ekoran krisis ekonomi dunia.

Menurutnya juga pada tahun 2014 Johor mencatat penternakan ayam tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 62,463,176 ekor dan diikuti Kedah 47,732,317 ekor.

Bagaimanapun katanya Johor sekarang hanya mampu mengeluarkan 600,000 ekor ayam sehari, berbanding permintaan harian menjangkau lebih 1.4 juta ekor.

“Berdasar rekod dasar agromakanan negara 2010-2030, Kadar Pertumbuhan Penggunaan makanan dalam compound annual growth rate (CAGR) dari tahun 2010 hingga 2020 bagi ayam dan itik ialah sebanyak 4.22 peratus.

“Ini menunjukkan rekod permintaan ayam daging yang tinggi di dalam negara kita,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 25/5/2022

- Advertisement -