Harapan tinggi Terengganu kekal juara SUKMA

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Temasya Sukan Negeri Terengganu (SUTERA) dapat dijalankan pada tahun ini buat kali kedua setelah tertangguh sejak tahun lepas.

Menurutnya, pelbagai aktiviti sukan dipertandingkan dan melibatkan lapan kontinjen mewakili lapan buah daerah.

- Advertisement -

“SUTERA kali ini juga kita berusaha untuk mematuhi syariah melibatkan aspek pemakaian, cara pengurusan serta waktu sukan dipertandingkan.

“Kerajaan juga mempunyai harapan yang tinggi untuk kita terus mengekalkan kejuaraan SUKMA (Sukan Malaysia) bagi negeri kita,” ujarnya yang merasmikan pembukaan Temasya SUTERA II 2021 malam tadi di Dewan Perdana, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus. 

Menerusi hantaran di laman sosialnya hari ini, beliau mengucapkan selamat berentap dan pastikan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh penganjur.

Pada SUKMA ke-19 yang berlangsung di Perak pada 2028 lalu, kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa.

Dalam pada itu, SUKMA ke-20 yang tertangguh sejak dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19, akan dianjurkan bermula 29 September hingga 8 Oktober tahun ini di sekitar Lembah Klang.

Menurut Majlis Sukan Negara (MSN), edisi kali ini yang dikenali sebagai ‘SUKMA XX, MSN 2022’ akan mempertandingkan 31 jenis sukan, iaitu 16 sukan wajib dan 15 sukan pilihan selain dua sukan demonstrasi, silambam dan kabaddi.

SUKMA ke-20 yang sepatutnya berlangsung di Johor bermula 6 hingga14 Mac 2020 ditunda beberapa kali susulan pandemik sebelum diputuskan untuk dianjurkan MSN di Lembah Klang. – HARAKAHDAILY 25/5/2022

- Advertisement -