GranuLab lancar simen tulang sintetik miliki halal JAKIM, Prosteomax

Prosteomax merupakan simen tulang sintetik yang berasaskan kalsium fosfat. (Foto SYAHIRAH SALLEH/HARAKAHDAILY)
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

SHAH ALAM: GranuLab Sdn Bhd hari ini melancarkan simen tulang sintetik atau tulang tiruan yang memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Prosteomax.

Pelancaran itu susulan kejayaan anak syarikat milik KPower Berhad itu memasarkan produk cantuman tulang sintetik halal, GranuMas pada 2014.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif KPower Healthcare & Technologies, Muhammad Badzli Abu Bakar berkata, penghasilan produk itu juga memenuhi tanggungjawab menyediakan produk halal kepada umat Islam.

Katanya, kebanyakan tulang sintetik yang terdapat dalam pasaran terdiri daripada bahan yang sumbernya adalah haiwan, seperti babi.

“Banyak tulang sintetik ini adalah daripada bahan babi, jadi GranuLab rasa ini adalah satu fardhu ain kepada kami untuk menggerakkan bahan patuh syariah dan halal.

“Produk ini merupakan tulang sintetik terbaru yang dihasilkan dari bahan tri kalsium fosfat, dan tetra kalsium fosfat menggunakan teknologi terkini yang diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia pada 2020,” katanya semasa Majlis Pelancaran Prosteomax, hari ini.

Pelancaran itu dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim, di kilang pembuatan GranuLab, di Kota Kemuning, di sini.

Turut hadir dalam majlis sama, Timbalan Pengerusi Bukan-Bebas Bukan-Eksekutif KPower, Sarah Azreen Abdul Samat dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KPower, Amirul Afif Abd Aziz.

Dari kiri, Ketua Pegawai Eksekutif KPower Healthcare & Technologies, Muhammad Badzli Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KPower, Amirul Afif Abd Aziz; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim dan imbalan Pengerusi Bukan-Bebas Bukan-Eksekutif KPower Sarah Azreen Abdul Samat semasa melancarkan Prostemax, di sini.

Sementara itu, kata Muhammad Badzli, pembuatan barangan keperluan halal dalam segmen kesihatan bukan matlamat akhir mereka.

Pihaknya juga berhasrat untuk memperkenalkan konsep patuh syariah yang turut memanfaatkan orang bukan Islam di Malaysia.

Sebagai contoh katanya, kewujudan hospital patuh syariah yang akan mematuhi atau mempraktikkan larangan dan tegahan agama selain Islam kepada pesakit bukan Islam.

“Contohnya, pesakit beragama Hindu datang ke hospital patuh syariah, kita tahu pesakit tidak boleh menggunakan bahan daripada tulang lembu.

“Jadi, hospital akan sedia garis panduan supaya pegawai perubatan, atau perawat menjaga tatasusila agama berkenaan,” katanya.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim menerima penerangan dari Ketua Pegawai Teknologi, Dr Fazilah Fazan mengenai kit yang disediakan bersama Prosteomax.

ProsteomaX merupakan simen tulang berasaskan kalsium fosfat untuk merawat kecederaan atau kecacatan akibat trauma, kes non-union atau penyakit tulang.

HARAKAHDAILY 25/5/2022

- Advertisement -