Gaji ‘super elit’ punca pasukan hadapi masalah kewangan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Gaji ‘super elit’ menyebabkan banyak pasukan bola sepak di negara ini menghadapi masalah kewangan sehingga mengheret kerajaan negeri campur tangan bagi menyelesaikan kemelut gaji pemain.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bukan pasukan kaya yang perlu tunduk kepada tuntutan gaji elit.

Bagaimanapun katanya Kedah sehingga ini mampu mengimbangi keperluan membantu rakyat, di samping membangun pasukan bola sepak yang mampu membawa nama Kedah beraksi di saingan Piala Malaysia.

- Advertisement -

“Kita tidak boleh berbelanja lebih daripada kemampuan. Gara-gara setting orang kaya di pasukan lain yang mengiurkan pemain, sehingga kerajaan terpaksa campur tangan untuk membiayai pasukan bola sepak,” katanya pada lontaran di laman sosialnya hari ini.

Menurutnya banyak pasukan bergelut dengan isu kewangan seperti yang berlaku kepada pasukan Seladang yang boleh meruntuhkan industri bola sepak.

Begitu juga kata beliau dua pemain legenda Kedah berhijrah ke Sabah, di mana gaji mereka boleh digunakan untuk membayar lima pemain baharu yang tidak kurang hebat.

“Sebelum ini kita berhempas pulas menyelesaikan hutang lama berjumlah lebih RM20 juta, faktor gaji pemain dan pembiayaan pasukan menjadi perhatian utama pada musim baru,” ujarnya.

Sebelum ini, Sanusi dikatakan menjadi penyebab pemain penyerang Kedah, Syafiq Ahmad kembali menyertai pasukan asalnya Johor Darul Takzim (JDT).

Menurutnya pemain berkenaan (Syafiq) menyertai Kedah secara pinjaman dan kontrak semusim dan apabila JDT membuat keputusan memendekkan tempoh kontraknya, pemain berkenaan terpaksa kembali semula ke JDT.

Baru-baru ini geger apabila Presiden KFA itu dilapor mendakwa bola sepak Malaysia tidak akan ke mana sekiranya semua pasukan yang menyertai Liga Malaysia tidak mendapat layanan sama rata.

Sebaliknya kata beliau terdapat pasukan yang diagung-agungkan.

“Kehilangan Syafiq bukan perkara besar kerana Kedah mampu mendapat pengganti lebih berkualiti. Kami tahu apa yang terbaik untuk kami.

“Kita berentap sahaja di padang dengan pengadil yang adil dan saksama. Jangan tambah masa sampai 20 minit pula sudah la,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/5/2022

- Advertisement -