Dunia hadapi krisis demi krisis, apa peranan insan tarbawi

Foto hiasan.

Oleh MUHAMMAD NURUDDIN BASHAH

Mukadimah

DUNIA belum benar-benar sembuh dari bahana ujian Covid-19. Walau rata-rata data ekonomi membawa maksud pertumbuhan ekonomi di bayak negara, namun kesan jangka panjang mulai dirasai kini. Jika dahulu kematian akibat Perang Dunia Ke-2 secara jelas kita nampak nyawa melayang akibat peperangan. Hari ini selain data kematian yang jutaan itu, kesan akibat kematian, kesengsaraan, kesan terhadap emosi, mental dan kekeluargaan kian muncul satu demi satu sama seperti pasca perang dunia.

Firman Allah SWT:

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَيۡءٖ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٖ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ ١٥٥

Maksudnya: Dan nescaya Kami akan menguji kalian dengan sedikit daripada perasaan takut, rasa lapar, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa (kematian), serta tumbuh-tumbuhan dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. (Surah al-Baqarah: 155)

Advertisement

Saidina Ibn Abbas RA menafsirkan ayat ini bahawa Allah SWT mengkhabarkan kepada kaum mukminin bahawa sesungguhnya dunia ini adalah medan ujian bagi kita.

Demikian juga kata Imam Ibnu Atho’illah As-Sakandari:

لا تَسْتَغْرِبْ وُقوعَ الأَكْدارِ ما دُمْتَ في هذِهِ الدّارِ. فإنَّها ما أَبْرَزَتْ إلّا ما هُوَ مُسْتَحِقُّ وَصْفُها وَواجِبٌ نَعْتُها

Janganlah engkau merasa aneh kerana berlakunya segala kesukaran selama engkau masih tinggal di negeri ini (iaitu selama engkau masih berada di dalam dunia ini). Kerana sesungguhnya, tiadalah ia menzahirkan melainkan apa yang memang layak bagi sifatnya dan yang wajib dari ciri-cirinya.

Akibat wabak, kawasan lingkaran negara kita sendiri mengalami kematian  tertinggi  yang tertumpu di Asia Tenggara. Negara pendapatan sederhana dan rendah pula mewakili 81 peratus daripada 14.9 juta kematian akibat Covid-19.

Sebelum ini pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan sekitar 15 juta orang telah maut akibat pandemik Covid-19 sepanjang tahun 2020 dan 2021 yang mana kematian adalah disebabkan Covid-19 atau kesan daripada beban sistem kesihatan bagi tempoh dua tahun tersebut.

Bagi aspek sosial dan generasi muda, dalam laporan Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan penutupan sekolah untuk tempoh panjang akibat pandemik Covid-19 menyebabkan kerugian bernilai trilion dolar dalam bentuk pendapatan sepanjang hayat kepada pelajar. Ini bermakna ramai kanak-kanak tercicir pelajaran dan kesannya nanti akan kelihatan beberapa tahun akan datang. Kajian itu  menunjukkan kanak-kanak yang miskin dan kurang upaya telah berdepan kekurangan akses terhadap pembelajaran jarak jauh.

Hal ini diakui terkesan kepada generasi muda negara kita. Misalnya Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad telah menyaran Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan segera Pelan Pemulihan Pendidikan dalam menangani isu keciciran pendidikan membabitkan 21,316 murid ketika ini. Beliau juga menyatakan kerajaan tidak boleh membiarkan murid terbabit terus berhenti sekolah atas faktor kemiskinan dan ketidakupayaan ibu bapa menyekolahkan mereka. Kerajaan kita  mempunyai data terkini murid yang keciciran pendidikan seperti dibentangkan di Parlimen sebelum ini. Banyak pihak perlu suarakan kebimbangan ini agar masalah sosial masa hadapan boleh dielakkan.

Bagaimana dengan ekonomi?

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed kebanyakan negara termasuk Malaysia mengalami masalah kewangan serta menghadapi defisit yang besar dalam belanjawan berikutan pandemik Covid-19. Walaupun dikatakan nisbah defisit daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia iaitu enam peratus merupakan antara terendah berbanding negara-negara lain namun defisit adalah fakta yang berlaku dan ia juga melibatkan peringkat global.

Selepas semua reda dengan kegusaran akibat Covid-19, telah mula bergenbira dengan keluarga semasa Raya Aidilfitri baru-baru ini, kini kita tegang semula apabila pengumuman demi pengumuman kedengaran berkenaan krisis makanan dan bekalan komoditi tertentu.

– Ketua Persatuan Antarabangsa Pengilang Dalam Operasi Eurasia, Eren Gunhan Ulusoy, berkata semua institusi antarabangsa bersetuju dunia akan menghadapi krisis makanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Katanya, hakikat itu antara lain diakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

– Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, stok gandum dunia akan berkurangan sebanyak 12 juta tan metrik. Ukraine antara pengeksport gandum utama dunia, menggantung eksportnya akibat operasi ketenteraan Russia di negara itu.

– India negara pengeluar gandum kedua terbesar dunia mengumumkan larangan ke atas eksport gandum yang berkuat-kuasa serta merta selepas suhu panas akibat gelombang haba menjejaskan penghasilannya. Faktor-faktor yang mempengaruhi keputusan tersebut adalah termasuk hasil tanaman yang rendah serta lonjakan harga global akibat peperangan di Ukraine serta kebimbangan kerajaan negara itu mengenai isu keselamatan makanan dalam kalangan penduduk negaranya. Harga gandum di India kini mencatatkan rekod baharu, dengan mencecah 25,000 rupee (RM1,418) bagi satu tan, melebihi harga sokongan minimum kerajaan iaitu 20,150 rupee (RM1,143).

Bagaimana dengan krisis lokal yang melibat rakyat kita?

– MIDF Amanah Investment Bank Bhd menerusi cabang penyelidikannya, MIDF Research menyatakan inflasi makanan Malaysia dijangka kekal dalam aliran meningkat pada bulan-bulan akan datang berikutan kenaikan harga komoditi global, gangguan rantaian bekalan domestik serta penyusutan ringgit. Memandangkan kita sebagai negara pengimport bersih makanan, Malaysia sememangnya amat terdedah kepada sebarang masalah global yang berkaitan dengan rantaian bekalan.

– Pasar di Selangor sudah kehabisan stok ayam.

– Krisis bekalan ayam menyebabkan gejala sorok bekalan mula berlaku di Negeri Sembilan.

– Peniaga terpaksa cari ayam di reban sendiri. Sesetengah peniaga ayam di Pasar Borong Selangor terpaksa  mencari dan membeli ternakan itu daripada penduduk kampung untuk jualan, manakala ada juga terpaksa menutup perniagaan disebabkan kekurangan bekalan.

– Restoran terpaksa naikkan harga makanan di Kelantan.

– Selangor dan Negeri Sembilan sepakat sudah ingin tanam jagung untuk atasi kenaikan makanan ayam diimport.

– Bulan Julai akan menyaksikan perlancaran tanaman jagung terbesar negara kita. Projek tanaman jagung bijirin ini dibuat di tapak projek ternakan lembu yang terbengkalai ‘National Feedlot Corporation’ (NFC) di Gemas iaitu satu projek yang pernah mencetus kontroversi sebelum ini. 

Krisis bekalan makanan berlaku banyak kali dalam sejarah manusia silam mahupun moden pasca Perang Dunia Kedua. Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Josette Sheeran (2008), menggunakan terma ‘tsunami senyap’ (silent tsunami) bagi mengambarkan keadaan krisis makanan.

Kehilangan stok ayam dan sebagainya dalam masyarakat mungkin benar akibat faktor kos makanan ayam yang diimport. Namun kita tidak menolak ada pihak yang mahu mengambil kesempatan atas kenaikan harga makanan global. Inilah gejala monopoli (al-ihtikar) iaitu membeli sesuau barang dalam jumlah yang banyak lalu menyimpannya sehingga menyebabkan barang tersebut menjadi berkurangan di pasaran yang mengakibatkan harganya meningkat yang dilarang Islam. Monopoli bahan makanan asasi adalah diharamkan jika memenuhi tiga syarat berikut:

– Makanan yang disimpan itu melebihi keperluan individu dan tanggungannya untuk tempoh setahun.

– Individu yang menyimpan barang makanan sengaja menunggu waktu ketika harga barangan tersebut melonjak naik secara mendadak.

– Monopoli berlaku ketika masyarakat sangat berkehendak kepada barangan tersebut.

Ungkapan Rasulullah SAW tentang krisis akhir zaman

1. Rasulullah SAW menyatakan ciri umatnya yang dilanda musibah.

عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَقُوْلُ: سمَعِْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : سَيُصِيْبُ أُمَّتِي دَاءُ اْلأُمَمِ فَقَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللهِ وَمَا دَاءُ اْلأُمَمِ قَالَ : اَلْأَشَروَاْلبَطَرُ وَالتَّكَاثُرُ وَالتَّنَاجُشُ فِي الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ حَتَّى يَكُوْنَ اْلبَغْىُ ) رواه الحاكم(

Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu. Sahabat bertanya, “ Apakah penyakit-penyakit umat–umat terdahulu itu? Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab : “Penyakit-penyakit itu adalah terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam usaha merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi antara satu sama lain”. (Hadis riwayat al-Hakim 7404)

Penyakit-penyakit itu ialah:

– Terlalu banyak bersukaria

– Terlalu mewah

– Mengumpulkan harta sebanyak mungkin

– Penipuan dalam merebut harta benda dunia

– Saling memarahi

– Dengki-mendengki, sehingga menzalimi antara satu sama lain

Kesimpulan dari di atas ialah sikap melampau. Melampau seronok, melampau memarahi orang, melampau gila harta, melampau mewah.

2. Rasulullah SAW ramalkan kehadiran wabak

Rasulullah SAW telah nyatakan wabak ini pasti perlu kita harungi memandangkan suasana sekarang yang menormalisasikan zina.

لم تظهر الفاحشة في قوم قط حتى يعلنوا بها الا فشا فيهم الطاعون ولأوجاع التى لم تكن مضت في أسلافهم الذين مضوا

Tidaklah muncul perbuatan keji (zina) pada suatu kaum hingga mereka melakukannya secara terus terang kecuali Allah akan menimpakan kepada mereka wabak dan berbagai penyakit yang belum pernah menimpa kepada orang-orang sebelum mereka. (Riwayat Ibn Majah)

3. Rasulullah menggalakkan pertanian

Rasulullah SAW menjelaskan kepentingan pertanian di dalam sabdanya yang bermaksud:

إِنْ قامَتِ السَّاعَةُ وَفِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ، فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لَا تَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا

Maksudnya: Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah. Riwayat Ahmad (3/183). Imam al-Son’ani berkata: Pada hadis di atas terdapat galakan untuk bercucuk tanam tumbuhan dan benih serta padanya kebaikan yang banyak.

4. Rasulullah melarang sorok barang komoditi

Kegiatan memonopoli dan menyorok sesuatu barangan (ikhtikar), terutama barang makanan tidak dibenarkan dalam Islam. Rasulullah bersabda: “Hanya orang berdosa yang melakukan kegiatan ikhtikari.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Ibn Majah)

Pandangan ulama cara hadapi krisis

Makanan merupakan antara keperluan asasi (basic needs) manusia untuk hidup, selain udara, air, tempat perlindungan dan pakaian.  Ulama yang mempopularkan kalimah maqasid syariah, Imam al-Shatibi  telah meletakkan keperluan makanan dalam kategori al-daruriyyat yang memberi kesan langsung kepada kehidupan manusia itu sendiri.

Tafsir surah Yusuf dari ayat 43 hingga 49 adalah kisah terbaik bagi melihat saranan ulama apabila meneliti ibrah dalam ayat berkenaan.

Imam al-Qurtubi mengkaitkan kisah ini dengan persediaan menjaga maslahat syariat yang terdiri dari memelihara perkara dharuri iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan harta.

Imam Abi Su’ud di dalam tafsirnya menjelaskan dari kisah ini, bahawa pentingnya masyarakat kurangkan makan (juga baik untuk kesihatan) dan jangan sediakan makanan secara membazir.

Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi menyatakan bahawa sebuah negara perlu ada peruntukan undang-undang untuk memiliki rizab simpanan yang cukup bagi mendepani bencana. Ini kerja orang politik yang perlu diutamakan bukannya bermusim.

Manakala Syeikh Dr Wahbah Zuhaili pula menegaskan sesebuah negara wajar menyimpan dan mencatu makanan untuk keperluan mendatang di waktu susah.

Apa peranan insan tarbawi

  1. Tidak bersikap provokatif

Insan yang ditarbiah sama ada tarbiah pondok, madrasah, universiti, tarbiah masyaikh, habaib atau tarbiah harakiah sewajarnya memiliki ciri tenang dan berhemah dalam mendepani krisis. Mereka perlu tidak terlibat dalam aktiviti provokasi yang meresahkan rakyat dan umat. Mereka perlu menenangkan umat dengan janji Allah, fakta yang sahih dan motivasi yang baik.

2. Tabayyun dengan berita semasa

Imam al-Syaukani rahimahullah berkata: “Yang dimaksudkan dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti yang dimaksudkan dengan tathabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Nur Azira Rameli dari Universiti Kebangsaan Malaysia terhadap 200 pemuda Malaysia yang memberi respon bahawa konsep tabayyun  adalah elemen penting dalam mengesahkan maklumat daripada media sosial dalam konteks Malaysia semasa  menjawab soal selidik mengenai penggunaan media sosial. Jadi individu tarbawi mesti turut sama menjiwai konsep ini dan jangan hanya tahu mengupas dalam halaqah tetapi tak mampu melaksanakan konsep ini.

3. Menyokong usaha untuk penyediakan persediaan makanan kesihatan

Misalnya kita perlu sokong sekiranya ada usaha kerajaan, NGO atau individu yang berusaha membaiki keadaan sesuatu krisis. Contohnya gesaan agar kerajaan memiliki ladang ayam bagi memastikan bekalan bahan mentah itu sentiasa stabil di negara ini sebagaimana dinyatakan oleh  Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman. Ladang ini boleh diuruskan oleh syarikat berkaitan kerajaan atau agensi yang memiliki kepakaran dalam bidang penternakan. Dengan cara ini, krisis stok ayam sukar berlaku disebabkan bahan mentah itu tidak dikawal lagi oleh kartel tertentu yang boleh berbuat apa saja, termasuk mengehadkan bekalan jika mahu memanipulasi harganya.

4. Menyeru masyarakat beramal dan mendekati Allah. Inilah tugas besar insan tarbawi.

• Gandakan wirid. ketika mana tibanya zaman dajal dan bekalan makanan terputus, Nabi SAW berpesan bahawa zikir adalah ganti kepada makanan, Sabda Nabi SAW:

قَالَتْ أَسْمَاءُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا وَاللَّهِ لَنَعْجِنُ عَجِينَتَنَا فَمَا نَخْتَبِزُهَا حَتَّى نَجُوعَ فَكَيْفَ بِالْمُؤْمِنِينَ يَوْمَئِذٍ قَالَ يَجْزِيهِمْ مَا يَجْزِي أَهْلَ السَّمَاءِ مِنْ التَّسْبِيحِ وَالتَّقْدِيسِ

Saydatina Asma’ RA berkata, “Akan tetapi mereka tidak mendapatkan apa-apa sehingga aku khawatir terkena musibah kelaparan, dan apa yang akan dimakan oleh kaum Mukmin pada waktu itu?” Jawab Nabi: “Allah S.W.T mencukupkan kepada mereka dengan makanan yang diberikan kepada penduduk langit (malaikat) dengan tasbih dan taqdis. (Riwayat Imam Ahmad)

• Nabi S.A.W berpesan benteng usaha dajal dengan al Kahfi.

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ ، عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ

Sesiapa yang menghafal 10 ayat permulaan surah al-Kahfi, akan terpelihara daripada fitnah Dajal.

(Sahih Muslim) Ini memang amalan yang ditekankan kepada semua individu tarbawi walau dari mana aliran sekalipun.

• Menggalak masyarakat berzikir Asmaul Husna seperti Ya Razzaq, Ya Fattah, Ya Ghani.

Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ

Maksudnya: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. (Surah al-A’raf, 180)

• Pengelak kemiskinan kelaparan dan kefakiran dengan mengamalkan al Waqiah.

Ketika Abdullah bin Mas’ud sedang tenat dan nazak, lalu Saidina Osman bin Affan RA menziarahinya dan bertanya berkenaan peninggalannya kepada anak perempuannya, maka Ibnu Mas’ud berkata:

أتخشى على بناتي الفقر؟ إني أمرت بناتي يقرأن كل ليلة سورة الواقعة، إني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: «من قرأ سورة الواقعة كل ليلة، لم تصبه فاقة أبدا

Maksudnya: Apakah engkau risau akan puteri-puteriku menjadi fakir? Sesungguhnya aku telah memerintahkan puteriku untuk membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Ini kerana aku telah mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.” (Tafsir al-Munir li Zuhaili, 27/240)

Berdoa sambil disandar dengan keberkatan Al Quran. Ianya tidak salah atau bidaah seperti dikata segelintir manusia yang cetek pemikirannya.

Daripada Imran bin Hussain, beliau mendengar daripada Baginda SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ فَإِنَّهُ سَيَجِيءُ أَقْوَامٌ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَسْأَلُونَ بِهِ النَّاسَ

Maksudnya: Barang siapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah ia meminta kepada Allah dengannya. Ini kerana sesungguhnya akan datang sesuatu kaum, apabila membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia. (Riwayat al-Tirmizi 2917)

Syeikh al-Mubarakfuri mensyarahkan hadis di atas menyatakan, bahawa kita boleh meminta kepada Allah SWT dengan perantaraan al-Quran (wasilah/tawasul) setiap apa urusan dunia dan akhirat. Atau sekiranya membaca al-Quran dan lalu pada ayat yang menceritakan berkenaan dengan rahmat Allah SWT, maka mohonlah kepada Allah SWT untuk mendapatkannya (rahmatnya). (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/189)

• Berdoa dan berharap, seterusnya serah pada-Nya.

Sepertimana dalam matan Hikam oleh Imam Ibn Athoillah:

لا يَكُنْ تأَخُّرُ أَمَدِ العَطاءِ مَعَ الإلْحاحِ في الدُّعاءِ مُوْجِباً لِيأْسِكَ. فَهُوَ ضَمِنَ لَكَ الإِجابةَ فيما يَخْتارُهُ لَكَ لا فيما تَخْتارُهُ لِنَفْسِكَ. وَفي الوَقْتِ الَّذي يُريدُ لا فِي الوَقْتِ الَّذي تُرْيدُ

Terlambat datangnya pemberian (Allah), meskipun sudah dimohonkan berulang-ulang, janganlah buatmu patah harapan. Kerana Dia telah menjamin untuk mengabulkan permintaanmu sesuai dengan apa yang Dia pilihkan untukmu, bukan menurut keinginan engkau sendiri. dan pada waktu yang Allah kehendaki, bukan pada waktu yang engkau kehendaki. – HARAKAHDAILY 25/5/2022