Anak panda diharap eratkan persahabatan Malaysia-China

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia berharap anak pasangan Giant Panda Xing Xing dan Liang Liang akan dapat mengeratkan lagi persahabatan antara Malaysia dan China.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hari ini adalah hari bersejarah bagi hubungan diplomatik kedua-dua negara itu apabila anak ketiga pasangan Giant Panda Xing Xing dan Liang Liang yang dilahirkan pada 31 Mei 2021 telah diberi nama.

Katanya, Majlis Penamaan Anak Giant itu diadakan di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara yang turut dihadiri, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli; Datuk Ali Biju, Duta Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing, Presiden Malaysian Zoological Society (MZS), Dato’ Sr. Zaharin Md. Arif dan Timbalan Presiden MZS, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana.

- Advertisement -

Menurutnya, anak Giant Panda itu diberi nama Sheng Yi yang membawa maksud keamanan dan persahabatan (peaceful and friendship).

“Kerajaan Malaysia berharap Sheng Yi akan dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin antara Malaysia dan Republik Rakyat China,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, anak Giant Panda betina itu dilahirkan dengan berat sekitar 140 gram dan akan mencapai usia setahun pada penghujung Mei 2022.

Katanya lagi, Sheng Yi berada dalam keadaan sihat dan telah mencapai berat melebihi 27 kilogram.

“Sheng Yi mula dipamerkan kepada umum sejak Disember 2021,” ujarnya.

Beliau menambah, kelahiran kali ini merupakan kelahiran yang ketiga bagi pasangan Giant Panda di Malaysia selepas kelahiran Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015 dan dihantar pulang pada 14 November 2017 serta Yi Yi  pada 14 Januari 2018. – HARAKAHDAILY 25/5/2022

- Advertisement -