Himpunan Relawan Muslim Care Malaysia: Memasak semangat juang

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

GURATAN wajah ceria bersulam senyum tawa mengisi himpunan selama tiga hari para aktivis, relawan Muslim Care Malaysia yang berhimpun di Kompleks Pendidikan an Nur Besut serta Tasik Kenyir minggu ini.

Relawan yang datang sejauh Johor, Pulau Pinang, Kedah, Wilayah Persekutuan, Selangor, Pahang, selain Terengganu dan Kelantan. Program yang dirancang untuk membina ukhuwwah, merapatkan jurang kepimpinan dan aktivis NGO bernuansa kebajikan ini meninggalkan banyak kenangan manis kepada peserta.

- Advertisement -

Menghimpunkan peserta berprofil tinggi bukanlah satu perkara yang mudah bagi mana-mana organisasi di musim pasca pandemik ini, dalam kesibukan majlis meraikan Syawal di seluruh negara.

Bermula pada Jumaat, bertali arus relawan ini datang berkumpul di Kompleks an-Nur Besut, bagi meraikan rumah terbuka Penyelaras Parlimen Besut yang dirasmikan oleh Dato’ Ahmad Marzuq Marzuki (Timbalan Menteri Agama).

Ribuan warga Terengganu dan Kelantan yang turut hadir dengan pelbagai acara yang diadakan dalam semangat Syawal yang masih menggebu.

Saudara Safuan ujar, Setiausaha MCM yang hadir ke Besut bersama keluarga turut mengambil kesempatan menziarahi projek rumah asnaf di Besut.

Peserta bergerak ke Jenagor Hulu Terengganu bagi membantu Madrasah Khairul Insan yang juga pusat pemulihan dadah Islamik.

Misi ke pusat rehab ini telah menyumbangkan 200 kampit beras untuk kegunaan pelatih. Kami juga dihiburkan dengan persembahan kumpulan ‘Dendang anak’ serta taklimat pengurusan oleh Haji Ariff.

Penghuni dan pelatih kelihatan teruja melihat Zuar XPDC dalam rombongan kami. Dalam perjalanan usai program lawatan satu tragedi telah berlaku apabila bot yang dinaiki telan terbalik, namun semua peserta selamat.

Himpunan tahunan ini mematuhi segala SOP, juga merencanakan tentatif yang padat namun dengan tahap disiplin yang tinggi segalanya mampu dilunaskan dengan sukses.

Himpunan relawan ini turut menyantuni masyarakat daerah Hulu Terengganu, termasuk menyantuni KOA Sungai Berua serta menyampaikan bantuan kepada madrasah Darul Ansar, kampong Basong.

Seramai 143 keluarga orang asal telah disantuni dengan bantuan beras, bakul makanan serta telekong solat.

Relawan Muslim Care Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan sosial, juga mengukuhkan tautan ukhuwwah mereka dengan mengadakan jaulah tarbawi di Tasik Kenyir dengan tiga buah ‘house boat’ yang digunakan menampung hampir 80 orang relawan.

Bukan sekadar mandi manda dan melepaskan penat namun juga dengan acara pengisian oleh Ustaz Fauzi Husein daripada Kedah. Sosok ulama aktivis ini mengingatkan relawan agar istiqomah dalam kerja dakwah dan kebajikan. Antara formula untuk istiqomah ialah menjaga solat yang sempurna, membaca al-Quran, bersedekah dan melazimi qiamullai.

Peserta himpunan Muslim Care Malaysia yang terdiri daripada pelbagai NGO kolaborasi juga mengadakan taaruf, latihan akuatik, BBQ santai, berkongsi pengalaman serta lain-lain acara bagi mengikat ukhuwah.

Ada kalangan relawan yang pernah menabur bakti di Afghanistan, Syria, Gaza, Filipina, Khemah pelarian Rohingya, Afrika , Bosnia, Indonesia dan pelbagai peta luka umat Islam yang lain.

Menurut Ustaz Muhamad Naim Hashim, “Muslim Care Malaysia adalah seperti abang kepada NGO Islam yang lain”. Kepelbagaian gerakan kebajikan ummat perlu diselaras dan disatukan, juga meluruskan niat apabila menggerakkan wadah kebajikan dan dakwah yang tak sepatutnya menjadi entiti perniagaan sehingga me cemarkan nama baik kerja membantu kemanusiaan.

Menarik juga ialah relawan-relawan ini pernah terlibat dalam siri-siri misi Muslim Care dalam negara, juga luar negara. Ratusan misi dakwah dan kebajikan dalam negara semenjak 17 tahun penubuhan NGO kebajikan ini.

Pakej dengan objektif dakwah maka MCM menyambangi kampong-kampong orang asal diseluruh negara, kampung-kampung tradisi di pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Puluhan pulau di negara ini disantuni seperti Pulau Banggi, Pulau Mabul, Selakan, Perhentian, Redang, Pulau Ketam, Pulau Mantahani dan lain-lain.

Terima kasih kepada seluruh relawan, aktivis Muslim Care Malaysia serta rakyat Malaysia yang menyokong dan mendokong usaha kami selama ini dan akan datang. Terimamkasih buat ketua juru masak kami yang selama tiga hari menyediakan juadah yang lazat, Kak Ani Rambai, seorang usahawan pemurah daripada Besut Terengganu.

Team ” Usrah betis berkarat” yang menjala ikan tasik yang menjelirakan kami dengan ikan jelawat, ikan ubi,lampam, kelah, baung. Semua insan berpotensi untuk menyumbang kepada ummah tanpa mengira latarbelakang pendidikan.

Juga tribut buat pahlawan kami yang telah pulang ke negeri abadi, almarhum Ustaz Norazli Musa Alias Ustaz Toliban yang bersemadi di Baqie’ Madinah, juga Dr Bashar dan Abu Ishak iaitu aktivis MCM di Syria yang terkorban semasa misi membantu masyarakat.

Semoga kita ditemukan ditempat paling indah dinegeri abadi kelak, terus membantu, menyemai bakti bersama wadah ini. “membantu tanpa sempadan”. Presiden MCM, Haji Zulkfli Wahijan tak dapat bersama dalam himpunan relawan ini kerana sedang menunaikan ibadah umrah di Makkah.

Penulis ialah aktivis bantuan tanpa sempadan Muslim Care Malaysia Society. – HARAKAHDAILY 24/5/2022

- Advertisement -