Diselimuti bahang gelombang haba: Jutaan rakyat India bergelut untuk hidup

Golongan gelandangan tidur di bawah teduhan jambatan pada hari yang panas di New Delhi pada 20 Mei 2022. (FOTO AP/Manish Swarup)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

NOIDA, INDIA: Jutaan rakyat di India, khususnya di bahagian utara kini sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan daripada risiko kemunculan gelombang panas dahsyat yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Seorang warga India, Mohammad Ikrar meluahkan keluhan bahawa kepanasan melampau itu amat menyiksakan kehidupan keluarga dan dirinya; dan sekiranya dia terpaksa berhabisan wang untuk membeli penghawa dingin atau peti sejuk untuk meredakan kepanasan yang dialami itu, sudah tentu dia akan melakukannya.

- Advertisement -

Menurut lelaki itu, ketika matahari terik menyinari dan mengalirkan bahang kepada pedati yang membawa buah-buahan kepunyaannya yang dibawa untuk jualan, dia khuatir kerana akhirnya terpaksa membuang berpuluh-puluh buah mangga dan tembikai yang reput begitu sahaja.

Sejak April tahun ini, dia telah kehilangan sehingga 3,000 rupee (RM170) seminggu, yang bersamaan hampir separuh daripada purata pendapatan mingguannya.

“Saya berpeluh sepanjang hari, namun tidak ada cara untuk menyejukkan badan dengan betul.

“Saya tidak pernah mengalami perkara seperti ini sejak saya berpindah ke sini lapan tahun lalu,” luahnya yang memakai baju lengan penuh dan menutup muka dan kepalanya dengan kain putih untuk menyejukkan badannya di tengah-tengah cuaca dalam suhu 44 darjah Celsius itu.

Seorang lelaki menutup mukanya dengan kain untuk melindungi dirinya daripada panas terik di New Delhi pada 4 Mei 2022. (FOTO PTI)

Katanya lagi, dia terpaksa menghantar ketiga-tiga anaknya ke sekolah yang dilengkapi dengan penyejuk udara untuk mengelakkan cuaca yang terlalu panas.

Tambah Ikrar, dia memberikan gambaran tentang ancaman yang dihadapi oleh warga India daripada kekurangan akses kepada penyejukan di tengah-tengah pemanasan yang semakin merebak itu.

Perkara yang paling membimbangkan adalah kediaman Ikrar dan keluarganya putus bekalan elektrik selama berjam-jam sepanjang hari  menyebabkan kipas siling tidak dapat berfungsi di rumah satu bilik yang dah didiami mereka di Noida, bandar raya satelit New Delhi yang dipenuhi pencemaran asap, antara faktor utama yang menyumbang kepada bahang panas pada persekitarannya.

Pencemaran asap di Noida, New Delhi, India merupakan antara penyumbang utama terhadap bahang panas yang kini melanda bandar raya berkenaan. (FOTO Hindustan Times/Sunil Ghosh)

Terdahulu, hampir 323 juta orang di seluruh dunia berisiko tinggi akibat kepanasan melampau dan kekurangan mekanisme penyejukan seperti kipas dan peti sejuk, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Tenaga Lestari untuk Semua (SE4ALL), sebuah organisasi yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

India mendahului senarai negara yang berada dalam keadaan kritikal akibat ancaman gelombang haba panas melampau, yang juga termasuk China, Indonesia, dan Pakistan, yang mempunyai populasi terbesar menghadapi bahaya berkaitan haba daripada kematian akibat terlalu panas serta-merta kepada kesan terhadap keselamatan makanan dan mata pencarian.

Suhu di kawasan New Delhi melonjak melebihi 49 darjah celsius di beberapa wilayah minggu lalu selepas India mencatatkan Mac sebagai bulan paling panas dalam tempoh 122 tahun dan April pula meraih label ‘panas luar biasa’. – HARAKAHDAILY 23/5/2022

- Advertisement -