Dasar Pandang ke Timur diperkasakan

Ismail Sabri adakan lawatan ke Jepun

TOKYO: Memperkasakan Dasar Pandang ke Timur serta memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia dalam hubungan dua hala Malaysia-Jepun adalah antara intipati yang bakal diketengahkan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun selama enam bermula hari ini.

Advertisement

Lawatan ini adalah lawatan kerja rasmi sulungnya ke Jepun semenjak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021.

Sempena lawatannya, Ismail Sabri akan bertemu rakan sejawatnya Fumio Kishida, yang baru memegang jawatan itu pada Oktober tahun lepas.

“Ini pertemuan pertama fizikal antara Perdana Menteri Malaysia (Ismail Sabri) dan Jepun (Kishida),” kata Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo Nor’ Azam Mohd Idrus mengenai pertemuan dua pemimpin itu yang akan berlangsung pada 27 Mei, kepada media Malaysia di Tokyo pada Isnin. 

Ismail Sabri dan Kishida sebelum ini pernah mengadakan Sidang Kemuncak Jepun-Malaysia melalui sidang telefon pada 20 April lepas yang kedua-duanya menyentuh mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa.

Nor’ Azam berkata antara intipati yang akan dibincangkan kedua-dua pemimpin dalam pertemuan mereka adalah mengenai hubungan Malaysia-Jepun termasuk kerjasama pandemik COVID-19, pembukaan sempadan dan penubuhan kampus Universiti Tsukuba di Malaysia.

Malaysia telah membuka semula sempadan pada 1 April 2022 manakala Jepun masih belum membuka sempadan negara sepenuhnya.

“Lawatan ini juga adalah ketika ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) yang telah memberi sumbangan besar dalam pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun,” katanya.

Sempena pertemuan itu nanti, kedua-dua Perdana Menteri akan menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum kerjasama antara Malaysia dan Jepun.

Ia melibatkan Memorandum Kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Jepun mengenai industri pesawat; Memorandum Kerjasama Mengenai Kerangka Asas Bagi Perkongsian Maklumat Untuk Operasi Sewajarnya Sistem Berkaitan Sumber Manusia Asing dengan Status ‘Pekerja Mahir Tertentu’ dan  Memorandum Kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun mengenai kerjasama dalam bidang belia dan sukan.

Ketika di ibu negara Jepun itu, Ismail Sabri akan menyampaikan ucaptama di Persidangan ke-27 Nikkei Future of Asia di Tokyo bertemakan ‘Redefining Asia’s Role in a Divided World’ pada 26 Mei.

Ismail Sabri akan menyampaikan ucapan dan suara Malaysia dalam bahasa Melayu pada persidangan Nikkei itu, katanya.

Nor’ Azam berkata Ismail Sabri dijangka membangkitkan isu-isu termasuk meningkatkan integrasi ekonomi serantau, memperkasakan mekanisme rundingan dan kerjasama, kerjasama dalam menangani perubahan iklim serta berkongsi konsep Keluarga Malaysia dalam ucaptamanya.

“Penyertaan beliau (Ismail Sabri) akan menjadi platform untuk Malaysia berkongsi idea dan pengalaman dalam pelbagai inisiatif untuk menentukan arah tuju rantau Asia pada masa hadapan,” katanya.

Ketika di Tokyo, Ismail Sabri juga akan mengadakan pertemuan dengan tokoh korporat dan ahli perniagaan daripada syarikat terkemuka di Jepun bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dan memperkukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan Jepun.

Antara tokoh yang akan ditemuinya pada 27 Mei adalah syarikat Jepun yang telah bertapak di Malaysia seperti Mitsui Fudosan, Mitsubishi Power dan Marubeni, dan berpotensi untuk mengembangkan operasi mereka di Malaysia. – BERNAMA