Presiden PAS terima kunjungan Sheikh Ali Al-Qaradaghi

Oleh FAIZAL AL-MEDANIEY

MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Agung Kesatuan Ulamak Muslimin Sedunia, Prof Sheikh Ali Al-Qaradaghi.

Sheikh Ali tiba kira-kira jam 2.00 petang di Pejabat Tan Sri Abdul Hadi di Rusila disambut Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi, kelmarin. Pertemuan itu berlangsung kira-kira tiga puluh minit.

Advertisement

“Pertemuan ini lebih kepada menghargai jasa yang telah disumbangkan oleh Tan Sri Tuan Guru dalam agenda penyatuan ummah di peringkat dunia Islam,” ujar Muhammad Khalil.

Katanya, Sheikh Ali juga meletakkan harapan agar Tok Guru Presiden terus komited dalam agenda penyatuan ummah di Malaysia.

Khalil yang juga ADUN Batu Buruk berkata Sheikh Ali sedia berkerjasama untuk menjayakan agenda perjuangan pembebasan Baitul Maqdis.

Untuk rekod, Tuan Guru Abdul Hadi yang kini menjadi Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah pernah menyandang Naib Ketua Kesatuan itu ketika pengasasnya Sheikh Yusuf Al-Qadarawi menjadi ketua sebelum melepaskan jawatan pada 2018. – HARAKAHDAILY 22/5/2022