Penjajaran order baharu dunia dan pengakhiran hegemoni AS (Bah. 1)

- Advertisement -

PERANG Rusia-Ukraine telah bertukar dengan cepat menjadi konflik global. Salah satu kemungkinan hasil daripada ini ialah penjajaran semula order baharu dunia setelah tiga dekad berada di bawah kuasa tunggal Amerika Syarikat.

Sememangnya terdapat ramalan yang semakin jelas tentang agenda order baharu dunia yang akan datang, yang boleh menyatukan Rusia dan China dan pada tahap tertentu, India dan beberapa negara lagi di bawah panji yang sama.

Kedudukan Rusia di Ukraine telah berubah sepanjang peperangan tersebut daripada hanya mahu “memusnahkan tentera” dan “menyahkan pengaruh Nazi” di Ukraine, kepada agenda serantau dan global yang lebih besar, seperti kenyataan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov, matlamatnya ialah menamatkan perkembangan pengaruh dan perluasan tanpa batas NATO serta mengakhiri penguasaan sepenuhnya geopolitik dan hegemoni global oleh kuasa Barat terutamanya Amerika Syarikat.

Pada 30 April lalu, Sergei Lavrov telah pergi lebih jauh dengan menegaskan dalam temu bual dengan agensi berita rasmi China Xinhua bahawa perang Rusia-Ukraine akan menyumbang kepada proses membebaskan dunia daripada penindasan neokolonial Barat yang berpaksikan “perkauman dan keistimewaan”.

- Advertisement -

Rusia bukan satu-satunya negara yang berpandangan sedemikian. China turut berkongsi pandangan yang sama, begitu juga dengan India dan banyak negara lagi. Pertemuan antara Sergei Lavrov dan Menteri Luar China Wang Yi pada 30 Mac lalu telah menjadi asas kepada agenda dan “bahasa“ global baharu yang sedang diperkatakan ketika ini. Kenyataan yang telah dibuat oleh dua diplomat tertinggi ini lebih membicarakan perihal untuk mencabar hegemoni Amerika Syarikat dan Barat daripada memperkatakan tentang perang yang berlaku di Ukraine ketika ini.

Bagi mereka yang mengikuti evolusi wacana politik Rusia-China walaupun sebelum perang RusiaUkraine bermula pada 24 Februari lalu akan menyedari bahawa “bahasa“ yang digunakan untuk menggantikan konflik serantau ialah kepada keinginan untuk membawa kepada penyusunan semula urusan dan order dunia secara keseluruhan.

Adakah penjajaran semula order baharu dunia ini mungkin berlaku? Jika benar, bagaimanakah ia akan berlaku? Persoalan ini masih belum terjawab buat masa ini. Walau bagaimanapun, apa yang kita tahu ialah usaha Rusia untuk melakukan transformasi global ini menjangkau konflik Ukraine.

Walaupun Rusia dan China kekal sebagai pelopor kepada penjajaran order baharu dunia ini, banyak negara-negara lain terutamanya di selatan dunia seolah-olah tidak sabar untuk menyertainya. Ini tidak seharusnya mengejutkan kerana kebanyakannya kecewa terhadap “pemerintahan dunia“ yang diterajui secara unilateral oleh kuasa Barat terutamanya Amerika Syarikat yang telah berlangsung sekian lama dan telah mendatangkan masalah selain beban yang amat besar.

Malah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres, walaupun kadang kala agak keberatan namun telah memberi amaran terhadap sikap unilateral ini dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk komited kepada “nilai multilateralisme dan diplomasi untuk keamanan”.

Bagaimanapun, pendirian pro-Rusia di selatan dunia seperti yang ditunjukkan menonjolkan keengganan banyak negara untuk menyertai sekatan Barat terhadap Rusia serta terdapat banyak paparan sokongan popular untuk Rusia melalui protes, perhimpunan dan kenyataan. Namun ia tidak membuahkan hasil yang memberangsangkan dan tidak mempunyai naratif yang padu. Berbeza dengan Soviet Union dahulu, Rusia hari ini tidak memperjuangkan ideologi global seperti sosialisme dan percubaan semasanya untuk mempengaruhi ideologi global yang boleh dikatakan masih lagi terhad.

Jelas sekali adalah terlalu awal untuk mengkaji apa-apa jenis superstructure baik dari segi bahasa, institusi politik, agama, sistem kewangan, falsafah dan lain-lain lagi akibat konflik global antara Rusia dan Barat pada masa ini.

Substruktur baharu hanya akan mula terbentuk sebaik sahaja mata wang negara-negara seperti Rusia dan China mampu menggantikan dolar Amerika Syarikat, sistem pemindahan wang alternatif seperti CIPS telah dikuatkuasakan, laluan perdagangan baharu dibuka dan akhirnya cara “pentadbiran dunia“ yang baharu akan menggantikan yang lama. Hanya selepas itu superstructure baharu akan menyusul, termasuk wacana politik baharu, naratif sejarah, bahasa harian, budaya, seni dan termasuk juga simbol.

Ribuan sekatan Amerika Syarikat dan Barat telah dikenakan ke atas Rusia yang sebahagian besarnya bertujuan untuk melemahkan keupayaan Rusia untuk mengemudi di luar sistem ekonomi global yang dikuasai Amerika Syarikat ketika ini. Tanpa keupayaan ini, Amerika Syarikat dan Barat percaya Rusia tidak akan mampu mencipta dan mengekalkan model ekonomi alternatif yang berpusat di Rusia mahupun China.

Memang benar sekatan Amerika Syarikat ke atas Cuba, Korea Utara, Iraq, Iran, Venezuela dan lain-lain negara lagi telah gagal menghasilkan “perubahan rejim” yang diidamkan, tetapi mereka telah berjaya melemahkan substruktur masyarakat dan negara tersebut termasuk menafikan peluang untuk menjadi kuasa ekonomi yang relevan di peringkat serantau dan antarabangsa. Negara-negara tersebut dan rakyatnya hanya dibenarkan untuk hidup dan tidak lebih dari itu.

Rusia sebaliknya adalah kuasa global dengan rangkaian ekonomi yang agak besar termasuk juga rangkaian sekutu antarabangsanya, rakan perdagangan dan penyokongnya. Dengan ini, perubahan rejim tidak mungkin berlaku di Moscow sebagaimana yang cuba dilakukan Amerika Syarikat dan Barat ketika ini.

Masa akan menentukannya dan buat masa ini, sudah pasti beberapa jenis transformasi global sedang berlaku, bersama-sama dengan potensi untuk berlakunya penjajaran order baharu dunia di mana istilah yang ironinya digunakan oleh Amerika Syarikat lebih daripada yang lain.

Namun buat Dunia Islam, inilah masanya untuk menilai kembali apa yang telah dan sedang berlaku ke atas umat Islam di seluruh dunia. Penilaian yang memerlukan penjajaran semula ke atas struktur Dunia Islam secara keseluruhan di mana sudah sampai masanya Dunia Islam perlu bangkit, bersatu padu dan bekerjasama demi untuk memartabatkan Islam kembali di atas muka bumi ini.

Semoga Islam akan kembali gemilang dan terbilang serta bangkit dari kegelapan dan kemunduran.

Islam Menyatukan Umat

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 20/5/2022

- Advertisement -