Lembu oh lembu

- Advertisement -

PENDIRIAN saya jelas. Keselamatan nyawa dan harta benda orang awam perlu diutamakan. 

- Advertisement -

Sudah kerap kali kemalangan dilaporkan akibat kurangnya kawalan berhubung haiwan-haiwan ternakan yang berkeliaran ini. Kerana itu masalah perlu diselesaikan melalui tindakan yang tegas dan berkesan. 

Saya penuhi jemputan menghadiri perbincangan berkaitan isu haiwan ternakan yang berkeliaran di kawasan awam dan mengancam keselamatan selain pencemaran dan kerosakan tanaman.

Ia diusahakan oleh KRT Pasdec Damansara dengan kehadiran wakil-wakil daripada Pejabat Veterinar Daerah Kuantan, Majlis Bandaraya Kuantan, Pejabat Perpaduan Daerah Kuantan, Balai Polis Beserah, KRT Damansara dan KRT Taman Dato Rashid.

Turut hadir Tok Empat Zulkifli, Alor Batu dan Puan Hajjah Wan Napiah, Ahli Majlis MBK. Para penternak terlibat yang turut dijemput gagal hadir atau menghantar wakil. 

Tiga cadangan yang saya kemukakan:

1. Haiwan-haiwan ini perlu dikandang dan dikawal pergerakannya. Para penternak perlu diberi tempoh untuk melaksanakannya. 

2. Haiwan yang berkeliaran di kawasan awam selepas tempoh yang diberi perlu ditangkap dan dijual sekiranya tidak dituntut pemilik. 

3. Haiwan-haiwan ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing perlu dibuat penandaan (tagging) untuk kawalan yang lebih berkesan. 

Pejabat Veterinar bagaimanapun memaklumkan penguatkuasaan tagging belum dapat dilaksanakan sepenuhnya ekoran kekangan perundangan yang masih di peringkat kajian cadangan. 

Penangkapan pula hanya boleh dilakukan oleh pihak-pihak yang mempunyai kuasa di bawah peruntukan undang-undang. Orang awam tidak boleh mengambil tindakan sedemikian kerana dibimbangi boleh menyebabkan implikasi undang-undang. 

Undang-undang juga tidak mensyaratkan haiwan-haiwan ternakan dikandang. Memadai dikawal agar tidak memasuki kawasan awam. 

Saya memahami kekangan dari sudut tenaga kerja dan prosedur yang dihadapi oleh pihak berkuasa dalam menangani isu ini. 

Tambah menyulitkan, Majlis Bandaraya Kuantan tidak memiliki kuasa secara langsung untuk menanganinya. 

Isu ini tidak melibatkan kawasan sekitar Damansara sahaja. Ia juga berlaku di tempat-tempat lain di DUN Beserah seperti di Sg Ular, Cherating dan Chendor. 

Kelonggaran peraturan, bidang kuasa yang terhad serta sikap para penternak dan pemilik membuatkan hal ini seperti sukar untuk ditangani. 

Oleh itu saya amat mengharapkan kerjasama yang lebih bertanggungjawab daripada para penternak dan pemilik haiwan-haiwan ternakan di mana-mana tempat sekali pun. 

Perlu ada sifat perikemanusiaan dan bertanggungjawab khususnya untuk keselamatan para pengguna jalanraya serta keamanan penduduk. 

Dalam pada itu, saya berikan kesediaan dan komitmen untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menyelesaikan hal ini secara muktamad untuk kepentingan semua pihak.

Semoga Allah permudahkan urusan kita semua.

ANDANSURA RABU
ADUN Beserah – HARAKAHDAILY 19/5/2022

- Advertisement -