Isu air Kelantan: Usaha selesai masalah air berusia 30 tahun

- Advertisement -

MENYATAKAN punca sebenar masalah air di Kelantan itu berpunca daripada amalan khianat dan politik dendam sebuah parti bukanlah satu bentuk lepas tangan daripada tanggungjawab ataupun sekadar membuat kerja senang dengan mengalihkan beban kesalahan kepada orang lain.

- Advertisement -

Namun, dalam kes yang rumit seperti isu perkhidmatan air yang melibatkan kos berbilion ringgit serta komitmen masa yang panjang, di sana terdapat pembahagian tugas dan skop tugas khusus yang pelbagai perlu diteliti.

Pihak kerajaan negeri ada skop dan kemampuannya, pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) ada skop dan kemampuannya begitu juga dengan pihak Kerajaan Pusat. 

Dalam konteks air Kelantan, beban tanggungjawab utama yang mengambil kira faktor kemampuan terletak pada pihak kerajaan pusat yang diperintah Umno pada ketika dulu khususnya melibatkan dana.

Namun pihak kerajaan Negeri Kelantan bawah pimpinan PAS juga punya tanggungjawab sendiri yang telah cuba diusahakan sebaik mungkin dalam kapasiti yang ada demi menyediakan bekalan air buat rakyat Kelantan. Dalam konteks ini, pihak kerajaan negeri berperanan dari sudut  penyelarasan gerak kerja menerusi pihak Air Kelantan Sdn Bhd.

Apakah yang sudah dilaksanakan bagi menguruskan masalah air di Kelantan?

Objektif utama usaha kerajaan negeri adalah mengurangkan kehilangan kadar NRW (Non Revenue Water) air tidak terhasil Kelantan seterusnya meningkatkan liputan bekalan air bersih daripada 75 peratus kepada 95 peratus.

A) Usaha kerajaan negeri boleh dilihat menerusi Pelan Induk AKSB (2021 – 2030). Antara isi perancangan strategik ini:

i) Mengurangkan NRW daripada 70 peratus kepada 30 peratus menjelang 2030 melibatkan kos sebanyak 1.7 bilion. Menerusi penukaran paip usang sepanjang 4,006 km yang kini sedang berjalan. 87 km paip meliputi jajahan  Kota Bharu, Tumpat dan Gua Musang sudah ditukar dan baki 340 km akan ditender tahun ini meliputi Kota Bharu, Kuala Krai dan Machang. Nak menukar 4,000 km paip sudah tentu memerlukan masa yang tidak sekejap.

ii) Meningkatkan kapasiti Loji Rawatan Air AKSB. Menerusi Naiktaraf 12 LRA sedia ada. Kapasiti akan meningkat daripada 153 juta liter sehari (JLH) kepada 330 JLH menjelang 2030 serta membina 11 LRA baharu. Selain itu LRA mini dan sederhana turut akan dibina.

iii) Pembangunan Takungan Pinggir Sungai (TAPS) bernilai 1.7 bilion yang akan berfungsi sebagai sumber baharu air bagi AKSB disamping pembinaan empangan Nenggiri dan Lebir. TAPS dijangka berkapasiti sebanyak 500 juta liter sehari (JLH). TAPS berkapasiti mempunyai simpanan selama 3 bulan sepanjang musim kemarau di samping dapat mengatasi masalah gangguan air bagi Kelantan Utara sehingga 90 peratus.

v) Pengurusan aset AKSB lebih efisien menerusi penubuhan Pusat Kawalan AKSB, memperkasa pengurusan loji, telaga, pam dan agihan, memperkasa pengurusan NRW serta memperkasa pengurusan penyelenggaraan air.

B) Kerajaan turut melaksanakan pelan jangka pendek bagi menampung keperluan air di kawasan terjejas khususnya sewaktu musim perayaan dengan membekalkan tangki air statik dengan kos 11.6 juta ringgit.

C) Rundingan bersama Kerajaan Pusat PN.

Sejurus Dato’ Sri Tuan Ibrahim dilantik sebagai Menteri Air dan Alam Sekitar, antara langkah besar dilaksanakan beliau adalah terhadap menyelesaikan isu air di Kelantan.Yang terbaharu, KASA telah memberi persetujuan bagi pembinaan takungan air besar di Machang. Dengan pembinaan ini, semua takungan air akan berkumpul di kawasan tersebut dan akan menyelesaikan masalah air di Kelantan. Peruntukan bagi pembinaan ini akan disalurkan oleh kementerian melalui Rancangan Malaysia Ke-12.

Pasti ramai tertanya kenapa tindakan konkrit hanya dapat dilaksanakan pada tahun kebelakangan ini. Kenapakah tindakan lambat dibuat? Bagaimana pula dengan pinjaman 600 juta yang pernah ditawarkan kepada Kelantan. Bukankah selepas 2016 Kerajaan Kelantan menyertai projek migrasi air bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional? 

Bagi menjawab soalan tersebut boleh baca pada pautan berikut:

https://www.facebook.com/430665967118189/posts/1957350627783041/

Kita tidak menafikan usaha kerajaan sewaktu zaman Perdana Menteri ke 6 menyediakan pelan dan usaha menyelesaikan isu ini. Kerana ia sememangnya tugas wajib pihak Persekutuan waktu itu yang mempunyai kapasiti dana yang sepatutnya. Sudah pasti rakyat Kelantan dan pimpinan PAS menghargai perkara ini, namun janganlah dilupakan sebelum 2016, Kelantan sememangnya dianaktirikan dari sudut naiktaraf infrastruktur air. Kesan penangguhan ini juga datang dengan implikasinya tersendiri, iaitu kos bagi penyelesaian isu ini akhirnya naik. Sekitar 7 bilion ringgit diperlukan. Walhal jika dimulakan usaha ini lebih awal, sudah pasti lebih kecil diperlukan. Janganlah buat-buat lupa implikasi yang perlu ditanggung rakyat tidak bersalah hasil budaya politik dendam Umno dulu.

Secara realitinya, Kerajaan Kelantan mampu mengorak langkah lebih jauh dalam langkah penyelesaian air hanya setelah pelantikan Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Menteri Air dan Alam Sekitar pada 2020.

Sebagai rakyat Malaysia khususnya buat rakyat Kelantan, marilah kita doakan perjalanan Pelan Induk AKSB 2021-2030 berjalan lancar tanpa sabotaj dan usaha khianat daripada mana-mana pihak sepanjang projek ini berjalan. Hakikatnya 30 tahun rakyat Kelantan menjadi mangsa politik dendam, hanya pasca 2020 mereka dapat menyaksikan cahaya harapan itupun setelah parti lebai yang memerintah Kerajaan Pusat.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 19/5/2022

- Advertisement -