Filem Mat Kilau seru generasi muda jiwai semangat pahlawan Melayu Islam

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mampu menjadi suatu medium baik yang dapat menyeru dan membantu mencetuskan agar generasi muda lebih menjiwai semangat kepahlawanan Melayu Islam.

Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, silibus dalam buku-buku sejarah, baik di sekolah rendah mahupun menengah sangat terhad kandungannya menyebabkan generasi muda tidak ada sumber tambahan yang boleh membantu mereka agar lebih menjiwai semangat kepahlawanan. 

Advertisement

Justeru katanya, melalui filem sebegitu, generasi muda dapat melihat dan menjiwai  bagaimana pejuang-pejuang Melayu kental berhadapan dengan penjajah dalam mempertahankan tanah air.

“Saya amat mengalu-alukan filem berunsur sejarah atau filem yang diinspirasikan dari sejarah yang mana kita amat jarang terokai aspek sebegini.

“Kita lihat Turki bukan sahaja berjaya menjual karya sejarah mereka  seperti melalui filem Dirilis Ertugrul, tetapi juga mampu membina jati diri bangsa mereka melalui seni perfileman,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Prof. Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat negara ini sewajarnya mengambil iktibar dengan  semangat pahlawan-pahlawan kita yang  dengan lantang boleh menolak idea dan  nilai budaya asing pada zaman mereka yang tidak canggih sepertimana pada era kini.

Tambah beliau, maka orang Melayu perlu lebih bijak dalam memastikan Islam dan budaya Melayu kekal terpelihara.

Menurut Dr Rafidah, di peringkat global, kuasa-kuasa besar kini sedang mencatur agar negara-negara membangun seperti Malaysia menuruti kehendak mereka yang sudah tentu, sekarang  ini agendanya itu dilakukan secara ‘subtle’ atau secara tidak begitu ketara di mata umum antaranya adalah menerapkan nilai-nilai mereka yang sekular, selain menolak agama melalui hak asasi yang dikatakan bersifat universal dan ini dilakukan melalui pelbagai konvensyen-konvensyen hak asasi. 

“Sebenarnya nilai hak asasi mereka tidaklah universal, tetapi menurut acuan dan budaya hedonism mereka  yang banyak mudaratnya, “ tegasnya yang juga merupakan pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Mat Kilau merupakan seorang pahlawan Melayu Islam yang berjuang menentang penjajah British di Pahang, Tanah Melayu.

Terdahulu, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang bakal menemui penonton di 90 pawagam di seluruh negara bermula 23 Jun ini dihasilkan dengan kos mencecah RM8 juta, selepas menjalani penggambaran selama 100 hari di Perak dan lokasi lain termasuk Pahang, Melaka dan Selangor.

Filem arahan Syamsul Yusof yang mengambil inspirasi dan mengangkat kisah perjuangan pahlawan Melayu Islam, Mat Kilau atau nama penuhnya, Mat Kilau Imam Rasu itu menampilkan lakonan Datuk Adi Putra sebagai Mat Kilau, selain barisan pelakon utama terdiri daripada Wan Hanafi Su bagi watak bapa Mat Kilau, Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Fattah Amin (Awang) dan Johan As’ari (Yassin).

Memperkuatkan lagi barisan pelakon filem yang memfokus tentang perjuangan Mat Kilau bersama bapanya, Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya yang bangkit menentang penjajahan British di Pahang, Tanah Melayu ketika itu termasuklah Datuk Jalaluddin Hassan (Haji Muhammad), Datuk Rahim Razali (Imam Battoqh), Namron (Haji Sulong), dan Shaharuddin Thamby (Datuk Bahaman). – HARAKAHDAILY 19/5/2022