5 kompartmen Hutan Simpan diwarta kawasan tadahan sejak 2020

KUALA KRAI: Jabatan Perhutanan Kelantan menjelaskan lima kompartmen yang terlibat dengan kawasan tadahan air di Hutan Simpan Sungai Rek diwartakan sebagai kawasan tadahan air pada tahun 2020.

Perkara itu dijelaskan Pengarah Perhutanan Negeri Abdul Khalim Abu Samah pada program dialog berkaitan kawasan bantahan aktiviti mengusahasil di kompartmen 32, 37, 38, 39 dan 40.

Program tersebut diadakan di Pejabat Renjer Hutan Laloh, turut dihadiri ahli parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman dan Adun Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah.

Advertisement

Abdul Latiff berkata, pemerwataan lima kompartmen tersebut dibuat pada mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Katanya Pengarah Jabatan Perhutanan menjelaskan tiada lesen baharu dikeluarkan di kawasan terbabit.

“Sebelum ini lesen diluluskan antara tahun 2010 sehingga 2016 kepada tujuh syarikat, di mana empat syarikat dilesenkan tetapi diberhentikan kerana bantahan penduduk.

“Manakala tiga syarikat lagi hanya pra perlesenan dan telah diberhentikan kerana bantahan melibatkan kawasan tadahan air,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya semalam.

Pada dialog terebut empat wakil penduduk berucap iaitu Mohd Tarmizi Manaf, Mohd Dahlan Yasin, Mohd Azhan Ab. Latif dan Mohd Farhan Abdullah.

Abdul Latiff yang juga Yang Dipertua PAS Kuala Krai berkata, perjumpaan semalam berakhir dengan harmoni di mana penduduk Kampung Chuchuh Puteri bersikap profesional.

Menurutnya walaupun kehadiran dalam jumlah agak ramai, namun mereka hadir untuk berbincang dan mencari solusi terbaik.

“Kami menyanjung tinggi kesediaan pengarah Jabatan Perhutanan negeri hadir berdialog dengan penduduk dan mereka berjiwa besar mendengar luahan penduduk.

“Jaminan Jabatan Perhutanan jika ada sebarang kerja-kerja pembalakan di kawasan berkenaan, penduduk boleh melaporkan segera memandangkan tiada sebarang kelulusan diberikan,” katanya.

Sebelum ini Menteri Besar bersetuju menghentikan aktiviti pengambilan hasil hutan di kawasan Hutan Simpan Sungai Rek Kompartmen 32, 37, 38, 39 dan 40 selepas dibantah Pusat Khidmat Dun Manek Urai. – HARAKAHDAILY 19/5/2022