4,496 hufaz berjaya dilahir YIK sejak 1996

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Seramai 4,496 hufaz berjaya dilahirkan Yayasan Islam Kelantan (YIK) sejak 1996 sehingga 2021 bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri mengeluarkan modal insan berkualiti dan cemerlang.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian langkah kerajaan negeri untuk menerapkan ajaran Islam yang terkandung dalam al Quran.

Katanya, penerapan itu bukan sahaja dalam kehidupan individu, malah melibatkan pentadbiran kerajaan negeri.

- Advertisement -

“Begitu juga pelaksanaan Dasar Pendidikan Rabbani dalam sistem pendidikan sekarang mampu meningkatkan lagi potensi dan kemampuan pelajar,” katanya pada Majlis Pengurniaan Hadiah Tilawah dan Menghafal al Quran peringkat Negeri di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini malam tadi.

Majlis tersebut disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra.

Menteri Besar juga berkata, majlis tilawah dan menghafaz al Quran dianjurkan saban tahun sebagai usaha berterusan bagi mendaulatkan isi kandung al Quran.

Katanya di peringkat pentadbiran kita melaksanakan berkonsep Ubudiyah, Masuliyah dan Itqan berpandukan manhaj al Quran untuk melahirkan pentadbiran kerajaan negeri yang bersih dan berintegriti.

“Bagi memperkasakan lagi integriti dalam pentadbiran, kerajaan negeri memberi peluang seramai 30 pegawai tadbir negeri melanjut pelajaran di peringkat Diploma Tasawur Islam.

Menurutnya usaha tersebut untuk memberi nilai tambah kepada pegawai kerajaan bagi mengamalkan budaya kerja cemerlang dan menghayati integriti pentadbiran.

Menteri Besar juga berkata, pengiktirafan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra sebagai Kolej Universiti akan melonjakkan lagi potensi institusi pengajian tersebut.

“Selain itu sebagai sokongan bagi menyemarakkan lagi budaya pembelajaran dan penghayatan al Quran dalam kalangan masyarakat.

“Bagi tujuan itu kerajaan negeri turut melantik 2,700 guru al Quran di bawah Bahagian Dakwah Halaqat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/5/2022

- Advertisement -