SMITI Darul Izzah tekad jadi tempat masyarakat tumpang kebaikan

- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam Darul Izzah (SMITI) yang terletak di Kampung Perupok, Yan, Kedah tekad menanam azam agar muncul sebagai sekolah yang penuh dengan keberkatan supaya masyarakat dapat menumpang kebaikan yang ada di situ.

Pengetuanya, Ustaz Mohammad Iqbal Abu Yaziz berkata, dia berharap agar sekolah itu semakin lama akan semakin berkembang dan semoga ia menjadi tumpuan kepada masyarakat untuk menjadikannya sebagai tempat tarbiah, memandangkan golongan pelajar di situ  merupakan generasi akan datang yang bakal memimpin masyarakat masa hadapan.

- Advertisement -

Menurut beliau, tapak SMITI Darul Izzah dibina di atas tanah yang diwakafkan dan masyarakat sewajarnya memandang sekolah agama ini sebagai suatu kurniaan kebaikan bukan sekadar untuk waktu sekarang tetapi juga untuk masa hadapan.

“Anak-anak di sekolah agama ini dididik agar menjadi anak-anak yang soleh sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W  yang mengatakan bahawa anak-anak yang soleh akan menyambung dan memberi kebaikan pada kita setelah kita meninggal dunia dan  anak-anak soleh inilah yang akan berdoa dan berbuat kebajikan kepada kita.

“Anak -anak ini merupakan aset yang penting kepada masyarakat dan semoga sekolah ini dapat melahirkan pemimpin yang amanah dan jujur pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Ustaz Mohammad Iqbal Abu Yaziz

Katanya, antara keistimewaan sekolah ini ialah melalui tarbiah dan sahsiah iaitu pihak sekolah mewajibkan pelajar tinggal di asrama, dari tahajjud Subuh ada jadual yang perlu diikuti.

Selain itu katanya, keistimewaan yang lain ialah pemahaman pelajar dari sudut ilmu agama, ilmu-ilmu duniawi dan akademik, serta aktiviti-aktiviti berbentuk pemikiran seperti kuiz dan usrah.

Tambah beliau, keistimewaan lain ialah adanya kekuatan rohani (melalui amalan ibadat), akal (hafaz al-Quran dan hadis), jasad (tubuh badan) dan hati (naluri) yang diterap kepada setiap pelajar sekolah berkenaan.

Dalam pada itu katanya, bagi meningkatkan bidang kemahiran, pihak sekolah bekerjasama dengan Giat Mara dan Kolej Komuniti dan dijadikan sebagai satu silibus kepada pelajar di samping turut disertakan pengajian tambahan dari sudut dunia dan pengajian kitab.

Katanya lagi, subjek agama ditekankan di Darul Izzah seperti ilmu tafsir, tauhid, feqah, hadis, nahu, imla’ di samping subjek teras yang lain.

Mengulas lanjut, Iqbal berkata, bilangan pelajar adalah seramai 70 orang manakala jumlah guru pula 20 orang; dan syarat minimum untuk menjadi tenaga pengajar di sekolah itu adalah perlu memiliki ijazah. 

SMITI Darul Izzah menawarkan ilmu pemahaman pelajar dari sudut ilmu agama, ilmu-ilmu duniawi dan akademik, serta aktiviti-aktiviti berbentuk pemikiran seperti kuiz dan usrah. (FOTO ihsan SMITI Darul Izzah)

Kebanyakan pendidik di SMITI Darul Izzah merupakan lepasan ijazah dari negara Jordan, Yaman, Mesir, selain universiti tempatan seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam atau SMITI merupakan pusat pendidikan peringkat menengah milik Parti Islam Se-Malaysia (PAS). 

Ia dikelola oleh Jabatan Pembangunan Sekolah Menengah, sebuah jabatan di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). 

Ir. Ts. Khairil Nizam ketika melancarkan SMITI Darul Izzah di Yan, Kedah pada 13 Disember 2019. (FOTO Sinar Harian)

Ketika dilancarkan pada 13 Disember 2019 oleh Ketua Pemuda PAS ketika itu, Ir. Ts. Khairil Nizam Khairudin, SMITI Darul Izzah dan sebuah lagi SMITI di Yan Kedah, iaitu SMITI At-Taqwa telah melakar sejarah buat Dewan Pemuda PAS Kedah apabila ia menjadi detik kejayaan mewujudkan dua institusi baharu dikenali SMITI berkenaan.

SMITI merupakan usaha kesinambungan kepada Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), kini mempunyai banyak cawangan di seluruh negara  menawarkan pendidikan bersepadu peringkat rendah yang berasaskan kurikulum integrasi tahfiz, fardu ain dan fardu kifayah.

Misi SMITI Darul Izzah adalah bagi melahirkan generasi masa depan yang soleh pintar rabbani. (FOTO ihsan SMITI Darul Izzah)

Khairil Nizam yang kini merupakan Ketua Penerangan PAS merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harakah ketika berucap pada majlis pelancaran SMITI Darul Izzah dan SMITI At-Taqwa itu berkata, penubuhan SMITI dilihat sebagai telah melengkapkan alur pendidikan yang ditawarkan sayap PAS selepas SRITI dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

“Kini PAS melengkapkan institusi pendidikannya iaitu Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI), PASTI, SRITI, SMITI dan Kolej Universiti Pakej Pendidikan Berkebajikan,” ujar beliau.

Katanya, melalui penubuhan kedua-dua SMITI Darul Izzah dan At-Taqwa, kesemua pelajar-pelajar SMITI diharapkan menjadi pelapis kepada perjuangan Islam di era penuh pancaroba, seperti ancaman pemikiran liberal, perlembagaan, rasis serta tekanan ekonomi mendesak.

“SMITI ditubuhkan bermatlamat mendidik anak muda dengan acuan Islam, contoh kepada sekolah lain, membentuk integrasi nasional dan membina pimpinan pelapis kepada PAS dan negara,” jelasnya.

Antara keistimewaan yang ditawarkan SMITI Darul Izzah adalah setiap pelajar diterapkan kekuatan rohani, akal, jasad dan hati (FOTO ihsan SMITI Darul Izzah).

Tambahnya, SMITI ditubuhkan dengan misi melahirkan generasi masa depan soleh pintar rabbani, dan dengan visi memberikan pendidikan peringkat menengah berasaskan kurikulum bersepadu meliputi tahfiz, fardhu ain dan fardhu kifayah melalui persekitaran yang kondusif.

“Justeru, SMITI berharap dapat menawarkan peluang pendidikan berteraskan Islam di peringkat sekolah menengah kepada anak-anak rakyat Malaysia dan sekali gus menyedia dan melaksanakan kurikulum pendidikan yang standard, selaras, bersepadu dan berintegrasi meliputi akademik, diniah dan tahfiz,” katanya.– HARAKAHDAILY 18/5/2022

- Advertisement -