Projek ECRL tawar 5,000 peluang pekerjaan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI-ECRL) menerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd (ECRL) bersama China Comunications Construction Company (CCCC) menawarkan 5,000 peluang pekerjaan khususnya kepada anak-anak muda Pantai Timur.

Ketua Bahagian Strategi Malaysia Rail Link (MRL), Zaidi Sharif berkata, setakat ini program di bawah ECRL bersama CCCC disertai 1,800 orang manakala 500 lagi diserap bekerja di bawah program tersebut.

Katanya, program itu bertujuan meningkatkan kemahiran dalam bidang teknikal di samping memberi peluang bekerjaan kepada penduduk tempatan dengan tawaran gaji bermula RM1,800 hingga RM2,500 sebulan.

- Advertisement -

“Oleh itu, kita berharap peluang tersebut dimanfaatkan anak-anak muda tempatan dengan menyertai program yang ditawarkan.

“Kelebihan menyertai program tersebut mereka akan diberi latihan dan ditaja elaun bulanan sebanyak RM300 termasuk penginapan dan makanan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersama ECRL di sini hari ini.

Zaidi juga berkata, mereka yang menyertai program terbabit perlu menjalani tempoh latihan selama dua bulan sebelum diserap bekerja oleh kontraktor ECRL dan subkontraktor merangkumi pekerja berkemahiran tinggi dan rendah.

Menurutnya juga pada bulan pertama mereka akan dihantar ke pusat latihan, manakala bulan kedua menjalani latihan praktikal di tapak pembinaan sebelum diserap sebagai pekerja.

“Antara peluang pekerjaan yang ditawarkan termasuk pekerja mahir, operator, juru ukur, bahagian elektrik dan pelbagai lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/5/2022

- Advertisement -