Peru mohon ekstradisi kapten kapal, siasat tumpahan minyak

Kapal Mare Doricum yang dipercayai terbabit dalam kejadian tumpahan minyak
- Advertisement -

LIMA: Pendakwa raya Peru mengemukakan permohonan ekstradisi terhadap kapten kapal Itali sebagai sebahagian siasatan terhadap kejadian tumpahan beribu-ribu tong minyak di luar pantai negara Amerika Selatan itu.

Pejabat pendakwa raya di sini dalam satu kenyataan, menyatakan bahawa Kapten Kapal Mare Doricum, Giacomo Pisani, meninggalkan negara itu pada 9 Mac, iaitu sehari selepas mahkamah melarangnya meninggalkan wilayah Peru.

- Advertisement -

Pihak berkuasa Peru menyatakan bahawa 11,900 tong tertumpah pada 15 Januari lalu di hadapan kilang penapisan Repsol dan tumpahan itu adalah bencana ekologi terburuk negara itu.

Tumpahan di Lautan Pasifik berlaku ketika pemunggahan minyak dari kapal Itali yang dimiliki oleh syarikat Fratelli d’Amico Armatori S.p.A.

Repsol, sebuah syarikat Sepanyol dalam satu kenyataan memberitahu bahawa ombak besar akibat letusan gunung berapi di Tonga menyebabkan tumpahan dan kapal tangki minyak Mare Doricum bertanggungjawab terhadap kejadian itu. Namun, pemilik kapal tangki itu mempertikaikan dakwaan itu.

Pisani dan pengarah tempatan Repsol, Jaime Fernández-Cuesta, adalah antara beberapa orang yang disiasat atas dakwaan jenayah pencemaran alam sekitar. – AP

- Advertisement -