Mahkamah Agung India batal larangan umat Islam berhimpun di masjid

Penganut Hindu dakwa Masjid Gyanvapi dibina di atas tapak kuil Hindu yang dirobohkan
- Advertisement -

NEW DELHI: Mahkamah Agung India membatalkan perintah mahkamah tempatan mengharamkan umat Islam berhimpun dalam jumlah yang ramai di masjid berprofil tinggi di utara India selepas pasukan `penyelidikan’ mendakwa menemui peninggalan tuhan Hindu Shiva dan simbol Hindu lain di situ.

Mahkamah tertinggi dalam perintah sementara menyatakan hak orang Islam untuk bersolat tidak boleh diganggu dan pada masa sama, kawasan peninggalan agama Hindu yang dikatakan ditemui di situ harus dilindungi.

- Advertisement -

Perselisihan pendapat mengenai hak untuk beribadat di masjid itu berikutan kempen selama beberapa dekad oleh aktivis Hindu untuk menunjukkan bahawa bangunan utama binaan umat Islam di India terletak di atas tapak suci lama. Pertikaian sebelum ini kira-kira 30 tahun lalu menyebabkan rusuhan maut.

Perintah Mahkamah Agung itu dikeluarkan sehari selepas mahkamah tempatan di Varanasi, bandar paling suci agama Hindu dan tapak Masjid Gyanvapi yang bersejarah, memutuskan umat Islam di masjid itu dihadkan kepada hanya 20 orang.

Mahkamah tempatan sebelum ini mengarahkan `penyelidikan’ di masjid itu selepas lima wanita meminta kebenaran untuk melakukan upacara Hindu di satu kawasan masjid itu dengan mendakwa sebuah kuil Hindu pernah berada di tapak itu.

Masjid Gyanvapi di kawasan pilihan raya Perdana Menteri, Narendra Modi, adalah antara beberapa masjid di Uttar Pradesh yang sesetengah penganut Hindu percaya dibina di atas kuil Hindu yang dirobohkan.

Kumpulan Hindu radikal yang dikaitkan dengan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi meningkatkan desakan untuk menggali di beberapa masjid dan membenarkan pencarian di makam Taj Mahal.

Hakim mahkamah tertinggi akan meneruskan pendengaran terhadap petisyen yang dikemukakan oleh kumpulan penduduk Hindu dan Islam, minggu ini.

Pemimpin 200 juta umat Islam India berpandangan bahawa `penyelidikan’ dalam masjid sebagai usaha menjejaskan hak mereka untuk bebas beribadat dan beragama.

BJP menafikan berat sebelah terhadap rakyat minoriti India, termasuk umat Islam dan memberi alasan mahukan perubahan progresif yang menguntungkan semua pihak.

Pada 2019, Mahkamah Agung India membenarkan penganut Hindu membina sebuah kuil di tapak Masjid Babri abad ke-16 yang dipertikaikan yang dirobohkan oleh penduduk Hindu pada 1992 yang percaya masjid itu dibina di tempat Dewa Hindu Ram dilahirkan.

Perobohan itu menyebabkan rusuhan agama di seluruh India yang mengorbankan hampir 2,000 orang dengan kebanyakan mangsa adalah penduduk Islam. – REUTERS

- Advertisement -