Finland, Sweden kemuka permohonan sertai NATO

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, bersama Duta Finland (kiri) dan Duta Sweden (kanan)
- Advertisement -

BRUSSELS: Finland dan Sweden secara rasmi memohon menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di ibu pejabat perikatan itu, keputusan yang didorong oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan memulakan proses penyertaan yang dijangka hanya mengambil masa beberapa minggu.

Penyertaan kedua-dua negara yang mengambil pendekatan berkecuali sepanjang Perang Dingin adalah antara perubahan paling ketara dalam landskap keselamatan Eropah selama beberapa dekad, mencerminkan perubahan besar dalam pendapat umum di rantau Nordic sejak pencerobohan Rusia pada 24 Februari.

- Advertisement -

“Ini adalah detik bersejarah yang mesti kita rebut,” kata Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, pada suatu majlis ringkas apabila Duta Sweden dan Finland, menyerahkan surat permohonan dalam fail putih yang timbul dengan bendera negara masing-masing.

“Saya amat mengalu-alukan permohonan Finland dan Sweden menyertai NATO. Anda adalah rakan kongsi rapat kami. Keahlian anda dalam NATO akan meningkatkan keselamatan bersama kami,” kata Stoltenberg. Penyertaan Finland dan Sweden dianggap akan akan menguatkan kedudukan perikatan itu di Laut Baltik.

Diplomat menyatakan bahawa proses penerimaan keanggotaan baharu di semua 30 Parlimen negara anggota boleh mengambil masa sehingga setahun.

Namun, Turki mengejutkan sekutunya dalam tempoh beberapa hari lalu dengan mengatakan negara itu mempunyai keraguan berhubung keahlian Finland dan Sweden. Stoltenberg pula memberitahu bahawa isu itu boleh diselesaikan.

“Kami berazam untuk menyelesaikan semua isu dan mencapai kesimpulan pantas,” kata Stoltenberg yang menyatakan permohonan kedua-dua negara mendapat sokongan padu negara anggota lain. – REUTERS

- Advertisement -