Asimilasikan bahasa kebangsaan demi perpaduan nasional

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

- Advertisement -

BANGI: Perpaduan nasional di negara ini tidak akan tercapai selagi mana masalah berkaitan ekuiti masih belum dapat diselesaikan.

Ahli akademik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, berkata dalam usaha untuk mencapai perpaduan nasional perlu ada dua teras utama iaitu kesamarataan (equality) dan keadilan (ekuiti).

Beliau berkata, masalah ekuiti antaranya penggunaan Bahasa Kebangsaan perlu diambil serius untuk membina sebuah perpaduan nasional.

“Kedudukan Bahasa Melayu itu adalah ekuiti iaitu keadilan yabg memberikan keistimewaan kepada bahasa tersebut tetapi bahasa-bahasa lain tidak dipinggirkan, diberikan kebebasan.

“Masalahnya pada hari ini, saya nak sebutkan apabila Bahasa Melayu ini tidak dikuasai oleh seluruh rakyat Malaysia disebabkan oleh pendidikan kita yang memisahkan sejak kecil

“Dengan sebab itu dalam usaha untuk mencapai perpaduan nasional ini, selagi masalah bahasa ini tidak dapat diselesaikan terutamanya perkara yang berkaitan ekuiti ini, selagi itu ia tidak dapat menjadi satu alat yang menyatukan, selagi itulah kita akan menghadapi masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Resolusi Meja Bulat Perpaduan UMMAH: Perpaduan Nasional Keluarga Malaysia anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di Hotel Tenera, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut katanya, Bahasa Kebangsaan merupakan alat bagi menyatukan rakyat Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152.

Menurut beliau, perpaduan nasional juga sukar dicapai apabila sistem pendidikan di negara ini yang dipecahkan kepada dua aliran berbeza.

“Saya minta jawatankuasa yang akan ditubuhkan buat satu kajian yang benar-benar akademik bagi menilai kemampuan, kebolehpasaran, buat kajian tentang sistem pendidikan di negara kita ini.

“Sejauh mana sekolah vernakular membantu pembinaan negara bangsa, ini perkara yang sangat penting sebab kita dipisahkan daripada kecil

“Kita boleh tengok anak cina yang sekolah kebangsaan dan tengok anak cina yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

“Kita dapat lihat dua watak yang berbeza, kita boleh tengok dari segi kebolehan berkomunikasi, kemesraan, keseronokan dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau turut menekankan agar sistem pendidikan sekolah vernakular perlu menekankan kepada penguasaan Bahasa Kebangsaan melalui proses pembelajaran.

“Kalau sekolah vernakular ini terus dibenarkan untuk beroperasi, ia mesti tertakluk kepada dasar kerajaan yang mengandungi beberapa perkara.

“Pertama, Bahasa Melayu diperbanyakkan masanya, sekarang ini hanya 180 minit, dan ia mesti ditambah kepada 240 hingga 280 minit seminggu supaya pelajar-pelajar sekolah kita ini dapat difahamkan bahasa ini dengan lebih lagi.

“Kedua, subjek sejarah yang diajar di sekolah rendah dikembalikan kepada roh asalnya, ia mesti diajar dalam Bahasa Melayu meskipun ia berada di SJKC,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak mengambil pengajaran berhubung kegagalan sekolah wawasan yang pada awalnya dimatlamatkan bagi mencapai integrasi nasional.

Jelas beliau, lima sekolah wawasan yang ditubuhkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal akibat pemikiran masyarakat Cina yang dibebani indoktrinasi percampuran mengakibatkan mereka kehilangan ke’cina’annya.

“Kalau inilah yang berada dalam fikiran kita, sampai bila-bila pun kita sukar untuk mencapai perpaduan nasional kerana kita tidak buka pintu asimilasi itu walaupun kita menerima integrasi.

“Saya mohon dalam usaha melaksanakan agenda nasional, suka ataupun tidak, perkara yang bersifat ekuiti ssperti bahasa ini dilaksanakan menggunakan kuasa negara yang ada tanpa memperjudikan dengan secebis undi yang akan merosakkan masa depan negara kita ini

Kalau kita terus memperjudikan masalah ini, kita akan mengulangi kesilapan demi kesilapan dan matlamat untuk mencapai perpaduan ini akan gagal,” ujarnya.

Turut hadir dalam program tersebut Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa, Timbalan Pesuruhjaya Tiga Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mohd Salleh.

Ahli akademik Pusat Tamadun Islam dan Sains Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir dan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor. – HARAKAHDAILY 18/5/2022

- Advertisement -