2 era Pertubuhan Peladang dibelenggu kerenah politik

- Advertisement -

Oleh M FAQIH & ARIF ISMAIL

APABILA
bercakap mengenai Pertubuhan Peladang, sebelum ini ia ada kaitan rapat dengan pemimpin politik. Ada ketikanya dapat digambarkan seumpama cawangan parti politik tertentu.

Individu yang mengetuai Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) biasanya ada hubungan dengan Umno. Ketika mesyuarat agung melantik Ahli Jemaah Pengarah (AJP) biasanya pemimpin Umno diundang merasminya.

Itu era dahulu. Dan selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, ramai mengharap PPK dibebaskan daripada belenggu politik.

Malangnya era Pakatan Harapan (PH) rupanya keadaan lebih teruk. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani didakwa mengambil kuasa ahli-ahli pertubuhan peladang.

- Advertisement -

Perubahan itu dilapor dibuat Salahuddin Ayub. AJP Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) seramai 5 orang dilantik menteri, manakala 4 orang lagi dipilih ketika mesyuarat agung.

Begitu juga di Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di mana 6 AJP dilantik menteri, manakala 5 lagi AJP dipilih melalui mesyuarat agung.

Pindaan komposisi AJP berkuat kuasa bermula 1 Mei 2019. Ia dibuat di bawah Seksyen 35 Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).

Pindaan tersebut melibatkan Pertubuhan Peladang Negeri, Pertubuhan Peladang Kawasan dan NAFAS. Pengerusi LPP ketika itu dari Parti Amanah Negara.

Perubahan itu jelas bagi membolehkan lebih ramai pemimpin Amanah berada dalam NAFAS dan PPK. Ramai peladang meluah kecewa tindakan kerajaan PH.

PPN Kelantan bertindak lebih jauh. Mereka menyaman Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Ketua Pendaftar dan Kerajaan Pusat. PPN terbabit membantah pindaan peraturan baharu yang dilakukan menteri.

NAFAS ketika era PH juga terpalit isu apabila menteri dikatakan memberi projek pembekalan input pertanian sektor padi kepada NAFAS. Ia melibatkan peruntukan RM1.4 bilion.

Jelaslah era BN dan PH Pertubuhan Peladang berdepan dengan kerenah politik. Pemimpin politik mengambil kesempatan menjadikan PPK untuk melebarkan pengaruh. 

Sekarang kemelut seperti itu tidak lagi kedengaran. Malah membebaskan PPK, PPN dan NAFAS daripada belenggu politik menjadi fokus LPP di era kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ia diakui Pengerusi LPP sekarang Dato’ Che Abdullah Mat Nawi. Katanya beliau cuba membebaskan elemen politiking supaya PPK benar-benar berfungsi bagi menjalankan peranan secara berkesan.

Era PN lebih terbuka

“Di bawah Menteri Pertanian dan Industri Makanan sekarang Dr Ronald Kiandee saya nampak lebih terbuka untuk membolehkan PPK berjalan dengan sendiri.

“Menteri sangat menyokong gerak kerja Pertubuhan Peladang,” kata beliau.

Che Abdullah juga meminta PPK yang berdaya maju membantu PPK yang berdepan dengan kerugian.

“Kita mahu mereka convert kerugian supaya menjadi PPK yang mampu menjana keuntungan. Saya juga berharap para usahawan tani yang tidak menjadi ahli supaya jadi ahli PPK.

“Dan mereka yang sudah menjadi ahli turut bersama LPP untuk mentransformasi dan memodenkan sektor pertanian dengan penggunaan intenet of thing dan sebagainya,” kata beliau.

Che Abdullah yang juga ahli parlimen Tumpat berkata, usaha perlu dilakukan bagi menarik lebih ramai golongan belia terbabit dalam sektor pertanian.

Belia yang berminat mampu muncul sebagai ikon anak muda yang berjaya pada masa hadapan dengan adanya kemudahan internet of thing (IoT).

Pertubuhan Peladang ditubuh di bawah Akta Pertubuhan Peladang 1973. Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bertindak sebagai pendaftar Pertubuhan Peladang.

Objektif penubuhan Pertubuhan Peladang untuk meningatkan taraf ekonomi, sosial, menambah pengetahuan dan kemahiran, meninggikan hasil dan pendapatan peladang.

Selain itu membaiki cara hidup ahli-ahli serta masyarakat peladang secara progresif, berdikari, makmur dan bersepadu.

Visinya sebagai peneraju kecemerlangan Pertubuhan Peladang bagi meningkatkan sumbangan berkesan dalam sektor agromakanan negara.

Setiap peladang boleh menyertai Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dengan syarat sekurang-kurang berusia 18 tahun dan ke atas.

Che Abdullah juga berkata, peladang mendapat banyak manfaat dengan menyertai PPK. Ini kerana peladang yang menyertai PPK sentiasa dipantau dan dibantu bagi mempertingkatkan produktiviti mereka.

“PPK akan mengambil cakna setiap masalah yang dihadapi ahli. Selain itu menyediakan pelbagai kemudahan dan peruntukan khas yang diagih melalui LPP.

“Petani yang menyertai PPK diberi keutamaan berbanding petani yang tidak menyertai PPK bagi mendapat bantuan kerajaan,” ujarnya ketika ditemui di sini. – HARAKAHDAILY 18/5/2022

- Advertisement -