Usaha pembangkang burukkan AKSB tersasar jauh

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Tuduhan seorang pemimpin pembangkang kononnya kaedah telaga jejari yang digunakan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) gagal dinafikan syarikat terbabit.

Menurut Unit Komunikasi Korporat AKSB telaga jejari di Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong berjaya beroperasi pada kadar rekabentuk 17 juta liter sehari (JLH).

Katanya, telaga jejari di LRA Wakaf Bharu beroperasi pada kadar 24 JLH.

“Bagi meningkatkan pengeluaran LRA Wakaf Bharu, air mentah tambahan diperolehi dari telaga tiub dan bukannya air sungai sebagaimana yang didakwa.

“Telaga jejari di LRA Kampung Chap beroperasi pada kadar 11 JLH. Terdapat dua telaga jejari untuk LRA Kampung Telok dan berjaya beroperasi pada kadar rekabentuk 32 JLH,” katanya pada kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Seorang pemimpin pembangkang menjadikan AKSB sebagai sasaran dan terbaru menyebarkan video dengan cubaan menggambarkan AKSB gagal mengurus projek bekalan air.

AKSB menjelaskan kapasiti rekabentuk LRA Kampung Telok ialah 30 JLH, namun sekarang hanya berupaya menghasilkan air terawat sebanyak 10 JLH sahaja yang menepati piawai Kementerian Kesihatan Malaysia.

Oleh itu katanya dakwaan pemimpin pembangkang telaga jejari untuk LRA Kampung Telok tidak ada air adalah tidak berasas, malah LRA terbabit dibina menggunakan sistem rawatan air ozon.

Begitu juga tuduhan pemasangan sistem rawatan air Chemiles di LRA Kampung Chap, LRA Taman Telok Mesira dan LRA Meranti Baru tidak tepat.

“Ini kerana sistem tersebut hanya dipasang di LRA Kampung Chap dan akan dipasang di LRA Meranti Baru sahaja.

“Sistem rawatan air yang dipasang di LRA Taman Telok Mesira adalah sistem NR Cavitation. Sistem NR Cavitation direkabentuk sekumpulan saintis tempatan yang berpangkalan di Pengkalan Chepa dan dikategori sebagai projek perintis oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara,” ujarnya.

Menurutnya juga pembangunan LRA Taman Telok Mesira dan LRA Meranti Baru dibuat secara rundingan terus kerana sistem NR Cavitation dan sistem Chemiles adalah hak mutlak syarikat-syarikat yang dilantik.

Malah katanya cadangan pelantikan secara rundingan terus diluluskan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

Manakala tuduhan cadangan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Labok, Machang sebagai menghabiskan duit dan tidak boleh selesaikan masalah air di Kelantan juga jelas tidak berasas.

Menurut AKSB TAPS dibina untuk mengumpul air air sungai dengan dua tujuan utama iaitu sebagai sumber air mentah untuk LRA dan tebatan banjir.

Katanya dengan adanya TAPS, perkhidmatan bekalan air terawat akan dapat ditingkatkan aspek jaminan kuantiti dan tekanan air serta meningkatkan liputan bekalan air terawat di Kelantan.

Begitu juga tuduhan sistem rawatan air Chemiles di LRA Kampung Chap gagal adalah tidak benar kerana loji tersebut beroperasi sejak 2015.

Kerosakan di loji yang mula dikesan pada tahun 2020 iaitu selepas beroperasi selama lebih lima tahun, merupakan keperluan kerja-kerja penyelenggaraan ke atas loji tersebut.

“Tuduhan kontraktor yang gagal dalam pembangunan LRA Kampung Chap dilantik oleh AKSB untuk pembangunan LRA Meranti Baru juga tidak benar,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 17/5/2022

- Advertisement -