Sisa makanan jana pendapatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pernahkah anda terfikir sisa makanan yang kita anggap tiada nilai sebenarnya boleh membantu menjana sumber pendapatan sampingan terutamanya dalam menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu hari ini?

- Advertisement -

Bertitik tolak daripada itu, sekumpulan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin di sini mengambil inisiatif memproses sendiri sisa makanan bagi dijadikan baja kompos untuk menyuburkan tanaman khususnya bayam Brazil.

Bayam Brazil yang ditanam di kebun komuniti yang diwujudkan di kawasan PPR dan disuburkan baja kompos tersebut kemudiannya diproses untuk dijadikan kerepek bagi dijual di pasaran sekali gus menjana pendapatan buat penduduk setempat. 

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga PPR tersebut Che Roziani Mohd Shariff berkata baja kompos daripada sisa makanan yang dihasilkan sendiri menggunakan mesin baja kompos dibekalkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mampu meningkatkan hasil dan kualiti tanaman sekitar tiga kali ganda.

“Sebenarnya dah lama kami cuba mengusahakan kerepek bayam Brazil untuk mendapatkan dana bagi projek dan aktiviti masyarakat di PPR ini tapi penghasilan bayam tidak begitu segar dan memberangsangkan.

“Bagi menghasilkan kerepek yang berkualiti, tentunya bahan utamanya iaitu bayam itu sendiri perlu berkualiti tinggi,” katanya kepada Bernama.

Bercerita lanjut, Che Roziani berkata sisa makanan dikumpul di lokasi yang disediakan dengan kerjasama penduduk PPR dan ia akan diproses setiap hari menggunakan mesin berkapasiti 60 liter yang mengambil masa sekitar 24 jam untuk menjana hasil. 

Katanya penghasilan kerepek itu juga memberi peluang kepada ibu tunggal di perumahan itu yang mendapat upah sekitar RM60 sehari. 

Baja tersebut juga turut digunakan untuk menyuburkan tanaman hiasan seperti pokok keladi, lelabah dan ati-ati yang dijual dengan harga lebih rendah berbanding pasaran. 

Che Roziani berkata pihaknya juga berhasrat dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk mengkomersialkan penghasilan baja itu.

“Kami ada memohon dengan Jabatan Pertanian untuk menghantar baja ini untuk ujian makmal bagi menganalisis kandungan dan kualiti baja, untuk dipamerkan pada label bungkusan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -