Memperingati Hari Nakbah dan pelan ‘The Greater Israel’

- Advertisement -


TANGGAL 15 Mei 1948, peristiwa hitam buat rakyat Palestin yang pastinya terpahat jelas sehingga ke hari ini. Bukan sahaja buat generasi rakyat Palestin ketika itu yang terpaksa berputih mata kerana kehilangan tanah air mereka yang dirampas zionis yahudi tetapi turut dirasai juga oleh generasi terbaharu rakyat Palestin yang senantiasa dizalimi dan ditindas di tanah air mereka sendiri.

15 Mei 2022 yang lalu, telah masuk 74 tahun peristiwa tersebut berlalu. Hari Nakbah bukan sahaja diingati sebagai peristiwa hitam buat rakyat Palestin tetapi juga buat umat Islam di seluruh dunia sebagai tanda kasih dan sayang terhadap saudaranya yang dirompak tanah air mereka malah hingga ke hari ini hanya tinggal beberapa kerat lagi tanah Palestin sebelum terhapusnya Palestin dari muka bumi ini.

Dari tahun 1947 hingga ke tahun 1949, daripada 1.9 juta rakyat Palestin, seramai 750,000 orang telah dihalau keluar dari tanah air mereka untuk memberi laluan kepada imigran yahudi yang datang dari seluruh dunia terutamanya dari Eropah. Kebanyakkan daripada rakyat Palestin tersebut telah melarikan diri ke negara-negara jiran seperti Jordan dan Syria.

- Advertisement -

Hanya 150,000 rakyat Palestin sahaja yang kekal di tanah air mereka yang kemudiannya ditukar menjadi Israel, iaitu 78 peratus daripada negara asal Palestin.

Baki 22 peratus negara asal Palestin yang terletak di bahagian timurnya diambil alih oleh Jordan dan kemudiannya dinamakan Tebing Barat. Penduduk-penduduk di Tebing Barat yang tidak tinggal dalam Israel kemudiannya diberi kerakyatan Jordan.

Jun 1967, Tebing Barat telah dijajah oleh regim zionis Israel begitu juga dengan Semenanjung Gaza yang ketika itu berada dibawah kawalan tentera Mesir.

Menurut Biro Statistik Palestin, sejumlah 5 juta rakyat Palestin tinggal di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, manakala 1.5 juta rakyat Palestin berada di Israel. Lebih 6 juta lagi rakyat Palestin berselerakan tinggal di negara-negara jiran dan di seluruh dunia.

Pada tahun 1880-an, ketika itu hanya terdapat 25,000 orang Yahudi yang tinggal di bumi Palestin. Majoriti komuniti yahudi ini datangnya dari Eropah yang pada ketika itu merupakan bangsa yang paling dibenci di Eropah.

Perang Dunia Pertama menyaksikan British menguasai Palestin dan mula membawa masuk orang-orang yahudi ke Palestin dalam jumlah yang ramai.

Meletusnya perang dunia kedua menyaksikan lebih ramai orang yahudi memasuki Palestin dan mula melaksanakan agenda mereka untuk menguasai Palestin di bawah ideologi zionisme yang sememangnya menghendaki Palestin sebagai negara untuk orang-orang yahudi.

Dengan sokongan kuat daripada British dan Amerika Syarikat ketika perang Arab-Israel pada tahun 1948, maka jatuhlah Palestin ke tangan zionis yahudi.

Maka pada 14 Mei 1948, Pengerusi Kesatuan Yahudi Sedunia iaitu David Ben-Gurion mengisytiharkan Israel sebagai sebuah negara merdeka yang dirampas daripada rakyat Palestin.

Jangan kita lupa, ketika kita umat Islam di seluruh dunia sedang memperingati Hari Nakbah, ketika ini rejim zionis Israel sedang rancak membina ribuan penempatan haram untuk pendatang haram yahudi yang datang dari seluruh dunia.

Malah ribuan pelarian perang Ukraine yang berbangsa yahudi turut dibawa masuk ke negara haram Israel, diberikan segala bentuk bantuan dan kemudahan disaat rakyat Palestin dizalimi, ditindas, dirampas haknya dan diperlakukan seperti binatang.

Namun apa yang berlaku di Palestin ketika ini sebenarnya adalah permulaan untuk membuka Asia Barat kepada penaklukan Israel atau lebih tepat lagi permulaan The Greater Israel.

Ini adalah kerana The Greater Israel adalah cita-cita asal golongan zionisme dari kalangan oran-orang yahudi. Jika diperhatikan tindakan berani mereka ketika ini, ia sebenarnya adalah satu ‘signal’ untuk menguasai Asia Barat serta melampiaskan cit-cita The Greater Israel.

Lihat apa yang berlaku di sekeliling Asia Barat serta apa yang terjadi kepada penentang-penentang regim zionis Israel. Hizbullah di Lubnan sedang berdepan dengan kebangkitan rakyat Lubnan akibat daripada krisis ekonomi. Syria satu ketika dahulu adalah penentang kuat rejim zionis Israel, kini sedang berdepan dengan perang saudara yang tidak pasti bila tamatnya.

Mesir boleh dikatakan berada di bawah pengaruh rejim zionis Israel dan Amerika Syarikat. Jordan berada dalam ketidaktentuan ekonomi dan tidak mempunyai kekuatan tentera untuk menghadapi regim zionis Israel. Yaman dan Libya berada dalam kancah perang saudara. Begitu juga Iraq yang tidak stabil sama ada dari sudut ekonomi mahupun politik.

Iran, satu-satunya negara yang berkemampuan untuk berdepan dengan rejim zionis Israel sedang berdepan dengan pelbagai tekanan baik dari sudut politik mahupun ekonomi dari seluruh dunia terutamanya Amerika Syarikat.

Negara-negara Arab yang lain pula seperti UAE, Bahrain dan beberapa negara Arab lagi telah menormalisasikan dengan rejim zionis Israel.

Rejim zionis Israel dengan bantuan Amerika Syarikat sebenarnya sudah berjaya menjinakkan musu-musuh mereka di Asia Barat. Hampir tiada lagi hakikatnya musuh sebenar rejim zionis Israel di Asia Barat.

Jika mereka mahu menakluk Palestin sebenarnya sudah lama mereka mampu lakukan tetapi apa yang ditunggu dengan masa yang paling sesuai ialah untuk meletakkan Asia Barat di bawah telunjuk atau taklukan mereka dengan pelan The Greater Israel.

Maka sebenarnya Hari Nakbah tahun ini bukan semata-mata untuk memperingati peristiwa hitam rakyat Palestin yang hilang negaranya, tetapi adalah peristiwa hitam kepada permulaan pelan penjajahan besar-besaran Asia Barat oleh regim zionis Israel dengan bantuan sekutunya.

Ini adalah kerana pelan The Greater Israel mencakupi penjajahan regim zionis Israel ke atas hampir keseluruhan Asia Barat iaitu dari Iraq, Lubnan, Palestin, Jordan, Syria, sebahagian daripada Mesir dan Arab Saudi serta sedikit daripada wilayah Turki.

Jika dilihat senario serta peristiwa semasa yang berlaku di Asia Barat saat ini, sememangnya ia adalah masa dan saat yang sesuai untuk melaksanakannya.

Oleh itu umat dan Dunia Islam terutamanya di Asia Barat wajar menilai kembali peranan mereka dalam Dunia Islam. Saat kejatuhan dan kemusnahan sudah hampir tiba, adakah masih berbaloi untuk berseteru sesama Islam atau menjadi keutamaan untuk mempertahankan Dunia Islam?

Jika masih alpa dan lalai, nescaya perancangan licik dan jahat rejim zionis yahudi ini pastinya akan meranapkan Asia Barat.

Kerana jika rejim zionis Israel dan sekutunya mula melaksanakan secara total pelan The Greater Israel, pastinya umat dan dunia Islam terutamanya di Asia Barat akan menghadapi laluan yang cukup sukar untuk menghalangnya malah menjadi lebih sukar lagi untuk membebaskannya kembali. Sedarlah sebelum terlambat, masih ada masa untuk menghalangnya.

Maka dengan itu, usah mudah terpedaya dengan musuh-musuh Islam terutamanya orang-orang yahudi. Pelbagai ayat Al-Quran peringatan dari Allah SWT akan kelicikan serta kejahatan yahudi yang sememangnya berkehendakkan kehancuran umat Islam sudah dinyatakan.

Benar, memperingati Hari Nakbah adalah baik sebagai peringatan kepada kita umat Islam akan kejahatan dan kezaliman oran-orang yahudi menzalimi dan merampas tanah air rakyat Palestin.

Namun di sebaliknya jangan kita leka dan alpa bahawa ketika ini sebenarnya mereka sedang merancang sesuatu yang lebih besar tanpa pengetahuan kita umat Islam.

Tebing Barat hanyalah stepping stone kepada pelan asal mereka iaitu The Greater Israel dan sebenarnya The Greater Israel telah hampir memasuki langkah perlaksaan penuh oleh rejim zionis Israel dan sekutunya.

Jelasnya yang paling rugi ialah kita umat Islam. Kita masih berperang sesama sendiri sambil mengorbankan umat Islam yang tidak berdosa, kita berebut kuasa dan harta dunia yang juga mengorbankan umat Islam yang tidak berdosa, kita melanggar hukum-hukum Allah SWT sambil tidak mempedulikan suruhannya, kita lalai akan peringatannya dan terpesona dengan dunia dan kekuasaan yang ditawarkan musuh-musuh Islam.

Akhirnya kita umat Islam juga yang rugi baik di dunia mahupun akhirat. Selagi mana kita umat dan Dunia Islam tidak bersatu-padu dan berkerjasama, selagi itulah umat dan Dunia Islam akan dipandang sinis dan hina oleh umat manusia seluruh dunia. Kita akan ketinggalan, kehilangan malah sedikit demi sedikit terhapus dari ingatan umat manusia.

Sudah sampai masa kita Bersatu padu dan berkerjasama memulihkan kembali keyakinan umat dan Dunia Islam. Sudah sampai masanya kita umat dan Dunia Islam bingkas bangun dari tidur yang lena, yang banyak merosakkan akidah dan keimanan umat Islam. Sudah sampai masa umat dan Dunia Islam kembali gemilang di muka bumi ini.

Semoga di hari kemenangan Aidilfitri yang disambut ketika ini, berdoalah kita kepada Allah SWT agar membuka hati-hati umat dan Dunia Islam agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, Bersatu padu dan menghentikan persengketaan sesama sendiri.

Semoga Islam kembali gemilang di muka bumi ini dan sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar bumi Palestin dan warganya akan mengecapi “kemerdekaan“ yang dinantikan selama ini.

Bebaskan Masjidil Aqsa, Bebaskan Palestin.

Islam Memimpin Perpaduan

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 17/5/2022

- Advertisement -