Kelantan membudaya isi kandung al Quran dalam masyarakat

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan mengutamakan apa sahaja aktiviti yang berkaitan dengan usaha memartabatkan isi kandungan al Quran dalam masyarakat.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, usaha itu sesuai dengan dasar kerajaan negeri Merakyatkan Membangun Bersama Islam menjadikan al Quran sebagai rujukan utama.

Menurutnya Islam menjadikan al Quran sebagai panduan utama dalam segenap aspek kehidupan manusia, di samping Hadis dan ijmak ulama.

- Advertisement -

“Penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz al Quran sebahagian usaha membuktikan kesungguhan kerajaan negeri memartabatkan al Quran sebagai sumber perundangan dan dasar pentadbiran negeri.

“Kita sentiasa memberi perhatian serius terhadap sebarang usaha memupuk amalan membaca, memahami mempelajari dan menghafaz al Quran,” katanya ketika merasmi Majlis Tilawah dan Menghafaz al Quran 1443 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji di sini malam tadi.

Hadir sama Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub dan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Majlis tersebut diadakan tiga hari dan perasmian dijangka disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra.

Menteri Besar juga berkata, penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz al Quran setiap tahun bagi bagi membudayakan lagi bacaan kitab suci itu dalam masyarakat.

“Bahkan usaha tersebut dapat memupuk kesedaran orang ramai untuk memperbaiki bacaan al Quran masing-masing.

“Bermula dengan semangat terbabit tercetus semangat serta kemanisan untuk mengamalkan setiap kandungan ajaran agama yang terkandung dalam al Quran,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/5/2022

- Advertisement -